Home » IPT berperanan bantu generasi muda terlibat tenaga kerja – Hajiji
Berita Tempatan

IPT berperanan bantu generasi muda terlibat tenaga kerja – Hajiji

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe , (dua dari kanan) mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bagi merasmikan di satu majlis forum bertajuk “‘Empowering Diversity in Leadership: Navagating Complexities and Embracing Differences” yang dianjurkan bersama UMS, Akademik Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Invest Sabah Berhad.
Hajiji berkata pembangunan e-bakat yang merangkumi pengetahuan dan kemahiran yang inovatif dan relevan serta yang paling penting, sedar dari segi etika, bukan sahaja penting untuk pertumbuhan modal insan tetapi juga dalam melahirkan pemimpin masa depan.

KOTA KINABALU: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin mewujudkan persekitaran kondusif untuk generasi muda terlibat sebagai tenaga kerja.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sebagai sebuah IPT di negeri ini, UMS perlu memimpin dan memahami generasi baharu dalam membantu tenaga kerja yang lain dengan lebih baik.

“Ini bukan sahaja bermakna melaksanakan teknologi digital terkini di tempat kerja, tetapi juga untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mod kerja dan komunikasi.

“Pembangunan e-bakat yang merangkumi pengetahuan dan kemahiran yang inovatif dan relevan serta yang paling penting, sedar dari segi etika, bukan sahaja penting untuk pertumbuhan modal insan tetapi juga dalam melahirkan pemimpin masa depan.

“Inilah sebabnya penting untuk mempunyai hubungan kerja yang aktif antara IPT dan pihak industri, serta pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor .

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan ‘Empowering Diversity in Leadership: Navigating Complexities, Embracing Differences Leadership’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe menyampaikan ucapan Hajiji sempena majlis berkenaan yang dianjurkan bersama UMS, Akademik Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Invest Sabah Berhad.

“Hanya melalui penglibatan sebegini kita akan dapat mengatasi jurang generasi. Persidangan seperti ini juga akan memastikan pertukaran idea kritikal berlaku yang akan membantu mengenal pasti dan menerapkan kualiti kepimpinan dalam kalangan ahli semua sektor yang mengambil bahagian.

“Tidak dinafikan juga forum sebegini mampu memberi platform kesedaran dan sekali gus memberi inspirasi kepada semua peserta untuk belajar antara satu sama lain,” katanya.

Hajiji berkata, persidangan dua hari itu akan membantu dalam memahami bagaimana kepelbagaian Sabah mampu menjadi alat yang membolehkan setiap kerumitan dapat ditangani setiap hari.

Pihaknya percaya, kepelbagaian yang dimiliki di Sabah adalah kekuatan setiap rakyat, dan membawa kualiti unik ke tempat kerja, dan bersama-sama berkembang ke arah masa depan yang mampan dan progresif.

“Kita bukan sahaja memerlukan orang yang betul untuk memimpin keperluan tetapi mereka yang komited dan berkesan dalam memimpin dan mengurus untuk melaksanakan kerja secara berintegriti.

“Satu lagi elemen kepelbagaian ialah jantina. Di Sabah, kita bangga kerana ada wanita yang mampu menerajui kepimpinan.

“Pemimpin wanita bukan sahaja menawarkan perspektif yang berbeza, tetapi mereka juga membawa pengalaman yang kaya, pengetahuan dan kemahiran yang membimbing Sabah ke arah kejayaan,” jelasnya.

TAMAT