Home » Tirai Kembara Kenali Borneo di Sabah berlabuh penuh kenangan indah
Berita Tempatan Politik

Tirai Kembara Kenali Borneo di Sabah berlabuh penuh kenangan indah

Persinggahan ke beberapa rumah etnik di Kampung Kebudayaan Koisaan memberi peluang kepada Paduka Baginda, Permaisuri serta Paduka Anakanda untuk mencuba aktiviti-aktiviti kebudayaan pelbagai etnik di Sabah.

PENAMPANG: Hari terakhir Program Kembara Kenali Borneo di Sabah hari ini menitipkan satu lagi kenangan indah buat rakyat negeri ini terutama masyarakat sekitar Penampang selepas berpeluang bertemu secara dekat dan beramah mesra dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selepas lima hari menjelajah melalui perjalanan darat di segenap daerah di Sabah, konvoi yang diketuai Al-Sultan Abdullah itu bakal meneruskan perjalanan ke Sarawak.

Suasana pagi di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini meriah seawal jam 6 pagi lagi apabila orang ramai mula membanjiri kawasan sekitar KDCA.

Kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sempena Majlis Santapan Pagi Bersama Rakyat di Kampung Kebudayaan Koisaan di KDCA menambahkan lagi semangat dan keterujaan rakyat untuk bertemu dan melihat secara dekat kedua-dua figura penting negara itu.

“Makanan Sabah cukup enak, tapi saya masih lagi baharu berkenal-kenalan makanan Sabah,” titah Baginda.

Biarpun ringkas dan hanya sekejap kesempatan yang dapat dirakamkan oleh Paduka Baginda mengenai makanan Sabah, namun ia sudah cukup menggambarkan penghargaannya terhadap kepelbagaian jenis masakan yang mewakili pelbagai etnik di negeri ini.

Malah, kesudian Tunku Azizah menunjukkan kemahiran memasaknya semasa singgah ke rumah etnik Dusun Tatana cukup menggembirakan rakyat kerana berpeluang melihat sendiri Raja Permaisuri Agong memasak makanan tradisi ikan ‘Bosou’.

Selain Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, konvoi kembara berkenaan turut berangkat bersama paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Persinggahan ke beberapa rumah etnik di Kampung Kebudayaan Koisaan memberi peluang kepada Paduka Baginda, Permaisuri serta Paduka Anakanda untuk mencuba aktiviti-aktiviti kebudayaan pelbagai etnik di Sabah.

Ia termasuklah melastik, menyumpit dan mencuba alat permainan tradisi ‘lansaran’ antara aktiviti yang menggamit perhatian rakyat dengan telatah santai Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Paduka Anakanda.

Selesai acara di rumah-rumah etnik, Paduka Baginda dan rombongan memulakan majlis santapan pagi dengan hidangan pelbagai makanan tradisi Sabah.

Turut menghiburkan Paduka Baginda, Permaisuri dan Paduka Anakanda adalah persembahan hiburan nyanyian dan tarian etnik- etnik di Sabah.

Dari Penampang, Konvoi Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Masjid Sahabat di Sindumin Sipitang untuk Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Rakyat, sebelum berangkat melintasi sempadan Sabah-Sarawak.

Pasangan Diraja dan konvoi kemudiannya berangkat ke Lawas Waterfront di Lawas Sarawak sebelum bergerak ke negara Brunei Darussalam bagi mengakhiri hari kelima kembara berkenaan semalam.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau dan bakal berakhir di Telok Melano Sarawak membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

— Siti Aisyah Narudin