Home » Pembangunan keusahawanan, pendidikan fokus utama UPKO
Berita Tempatan Politik

Pembangunan keusahawanan, pendidikan fokus utama UPKO

AMANAT: Ewon ketika menyampaikan amanat beliau pada Konvensyen Nasional UPKO.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan memberikan tumpuan kepada dua bidang utama.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, dua fokus utama itu ialah pembangunan keusahawanan dan sokongan pendidikan.

Untuk melaksanakan fokus itu, beliau akan mempengerusikan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan di peringkat parti yang akan dianggotai oleh semua pimpinan parti yang telah dilantik ke agensi-agensi kerajaan.

“Sehingga hari ini, sebanyak empat pemimpin UPKO dilantik sebagai Pengerusi agensi kerajaan dan 13 pimpinan dilantik Ahli Lembaga Pengarah di pelbagai agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan. 

“Saya akan mempengerusikan sendiri penyelarasan pembangunan keusahawanan rakyat kita melalui satu jawatankuasa yang dianggotai oleh semua pimpinan parti yang dilantik dalam agensi-agensi kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar beliau pada Konvensyen Nasional UPKO, di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini hari ini.

Mengenai pembangunan keusahawanan, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia berkata, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan di kementerian itu sejak beliau dilantik memimpin kementerian berkenaan.

“Antaranya pelancaran Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) oleh TEKUN Nasional bagi membantu usahawan-usahawan kecil dan informal di Sabah serta Sarawak yang berniaga di tamu-tamu, selain penambahbaikan tadbir urus Skim Usahawan Orang Asli yang juga dilaksanakan oleh TEKUN Nasional berkaitan syarat pemilikan tanah dalam kalangan usahawan komuniti itu.

“Saya juga telah menambah baik proses penubuhan sesebuah koperasi di mana selama ini hanya golongan profesional sahaja yang dibenarkan menubuh koperasi baharu dengan keahlian minimum lima orang.

“Kini mereka yang mempunyai bidang kemahiran sama, contohnya pengusaha kraftangan atau inap desa boleh menubuhkan koperasi dengan keahlian hanya lima orang.

“Saya ingin melihat pembangunan keusahawanan melalui gerakan koperasi dapat dilaksanakan oleh semua Bahagian Parti, termasuk inisiatif pembangunan Tamu Desa yang diuruskan oleh gerakan koperasi yang kita akan mulakan pada tahun hadapan,” katanya.

Ewon turut menyatakan skim baharu iaitu geran khas usahawan Orang Asal Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP) Plus akan dilancarkan di Sarawak pada hujung bulan ini.

Menurut beliau, aspirasi RESET SME juga akan dilancarkan di Pulau Pinang pada bulan ini bagi mempergiatkan program kesedaran pelaksanaan Environment, Social and Governance (ESG) dalam operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana melalui pemantapan Program PKS Lestari.

Mengenai pembangunan sokongan pendidikan pula, Ewon menyatakan akan menginisiatifkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunan sokongan pendidikan di antara agensi kerajaan dengan yayasan yang mewakili rakyat dalam sektor pendidikan.

“Saya ingin menjayakan pemeterian MoU pembangunan sokongan pendidikan di antara Yayasan Pendidikan INDEP dengan Yayasan Bank Rakyat. Saya juga ingin melihat Yayasan Bahasa Kadazan Dusun (KLF) menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Karnival Bahasa Kadazan Dusun di peringkat negeri pada tahun hadapan,” katanya.

— Yap Siong Han