Home » Belia disaran terus bergiat aktif menerusi kelab, persatuan  
Berita Tempatan Politik

Belia disaran terus bergiat aktif menerusi kelab, persatuan  

Pengerusi Gabungan Mazlan Joehari Manan (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada Bengkel Pengurusan Dan Pentadbiran Persatuan yang diadakan di Beaufort.

BEAUFORT: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN) telah mengadakan Bengkel Pengurusan Dan Pentadbiran Persatuan yang diadakan di Dewan Arena Belia Beaufort, baru-baru ini.

Pengerusi Gabungan Mazlan Joehari Manan berkata, bengkel anjuran Gabungan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah Bahagian Pedalaman Bawah dan Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pedalaman Bawah bertujuan memberikan pendedahan kepada belia setempat dengan persatuan-persatuan dan kelab belia di kawasan masing-masing.


Jelasnya, dengan pendedahan itu belia dapat memanfaatkan persatuan dan kelab untuk menggerakkan program masing-masing menerusi platform itu demi manfaat belia sendiri serta masyarakat setempat.


Tambahnya, bengkel yang diadakan itu juga penting kepada kelab dan persatuan belia dari segi penyediaan laporan yang tepat dan teratur untuk diberi kepada Pendaftar Pertubuhan Belia pada setiap tahun sekaligus memantapkan lagi urusan pentadbiran serta menjamin survival kelab dan persatuan.


“Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan jumlah dana yang besar untuk pembangunan belia setiap tahun melalui Kementerian Belia Dan Sukan Sabah. Dana itu boleh di pohon oleh kelab dan persatuan belia untuk menggerakkan program mereka.

“Para belia seharusnya mengambil peluang melalui penubuhan kelab dan persatuan belia ini untuk berekspresi atau merancang beberapa program yang lebih bermakna untuk belia termasuklah program dalam bidang keusahawanan, sosiobudaya dan sukan, ” katanya.


Dalam pada itu, Mazlan turut menyuarakan supaya Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah mengadakan lebih banyak program-program belia selain menyediakan dana khusus program kepada kelab dan persatuan belia di Sabah.


Disamping itu, beliau turut meminta KBS Malaysia supaya menambah lagi bilangan pejabat di Sabah memandangkan geografi Sabah amat luas dan tidak mampu menjangkaui belia secara keseluruhan.


“Di Sabah, hanya terdapat enam pejabat Belia Dan Sukan (P) Sabah di enam bahagian seluruh Sabah, berikutan itu ia tentunya tidak dapat menjangkau belia dengan menyeluruh kerana geografi Sabah cukup besar.


“Pejabat ini sama tarafnya dengan Pejabat Belia Dan Sukan daerah-daerah di Semenanjung. Sehubungan itu kita memohon KBS Malaysia menambah bilangan pejabat mereka di semua daerah di Sabah dan pada masa sama memperuntukkan dana yang lebih adil kepada Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, ” katanya.

Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment