Home » Lebuhraya Pan Borneo: Agong zahir ucapan terima kasih kepada Najib
Berita Dalam Negara Politik

Lebuhraya Pan Borneo: Agong zahir ucapan terima kasih kepada Najib

Permandangan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak Serian - Sri Aman yang dirakam dengan menggunakan drone. LPB Sarawak kini mencapai tahap 97 peratus siap. Foto: Bernama

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dahulu atas inisiatif membina Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya secara peribadi harus menyatakan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan kerajaan terdahulu yang telah berusaha mengilhamkan dan merealisasikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya harap ia dapat dibina dengan baik, dengan ada kualiti,” titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Penutupan dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak bersempena Kembara Kenali Borneo di sini, tengah malam tadi.

Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kini mencapai tahap 97 peratus siap.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Al-Sultan Abdullah turut bertitah Kembara Kenali Borneo ini menjadi kunjungan terakhir Seri Paduka Baginda ke Sabah dan Sarawak sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.

Yang di-Pertuan Agong bertitah sepanjang tempoh itu, rakyat di Sabah dan Sarawak telah memberi sambutan hebat bukan hanya sewaktu kembara itu tetapi setiap kali Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkunjung ke Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu itu.

“Kunjungan ini adalah kunjungan terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong. Justeru, pada malam yang penuh bermakna ini saya ingin menzahirkan ucapan selamat tinggal dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak di atas segala memori manis yang akan terpahat segar dalam sanubari saya,” titah Seri Paduka Baginda.

Majlis santapan itu turut dihadiri Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

–- Ahmad Burhanuddin