Home » Peruntukan RM3 juta galak pengkarya Sabah, Sarawak hasil kandungan berkualiti
Berita Dalam Negara Politik

Peruntukan RM3 juta galak pengkarya Sabah, Sarawak hasil kandungan berkualiti

Fahmi Fadzil berharap dana RM3 juta dan diskaun dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak kandungan berkualiti dari Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
Ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan bakat serta kemahiran, merangsang aktiviti, dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengagihkan peruntukan khas berjumlah RM3 juta menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) kepada pengkarya seni di Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan penerbitan berkualiti di kedua-dua negeri itu, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi dan digital itu berkata, pengagihan dana melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan bakat serta kemahiran, merangsang aktiviti dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan di kedua-dua negeri berkenaan.

Bagi tujuan sama, katanya, diskaun 20% turut diberikan kepada pengkarya kandungan di Sarawak dan Sabah untuk sewaan dan kemudahan fasiliti penggambaran Finas selama enam bulan mulai hari ini.

“Sekiranya pengkarya kandungan menghasilkan karya sehingga mampu meraih anugerah terutama di peringkat antarabangsa, kita bersedia memberi lebih banyak diskaun, termasuk 20% lagi selepas daripada itu.

“Sehubungan itu, saya berharap dana RM3 juta serta diskaun yang diberi dapat memberikan suntikan semangat dan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak kandungan lebih berkualiti dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar “Fast Track: How To Be A Content Creator” serta pembukaan Studio Sound Stage Finas Sarawak, di Auditorium Finas, yang turut dihadiri Pengerusi Finas Kamil Othman.

— BERNAMA

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment