Home » PH Sabah nafi laporan berita kaitkan Musa Aman
Berita Tempatan Politik

PH Sabah nafi laporan berita kaitkan Musa Aman

Menerusi kenyataan bersama PH Sabah hari ini, mereka secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ianya tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Harapan Sabah.

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan berita mengaitkan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dengan PH Sabah.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan PH Sabah hari ini, menjelaskan bahawa laporan berita yang tular dalam media sosial bertajuk ‘Musa Aman akan ketuai PH Sabah?’ telah menimbulkan kekeliruan rakyat.

“PH Sabah amat terkejut dengan laporan berita itu yang telah tular dalam media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

“PH Sabah secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ianya tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah,” kata kenyataan itu.

PH Sabah mengambil pendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan PH Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincang perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh para pemimpin PH Sabah iaitu Pengerusi PH Sabah Datuk Christin Liew, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah Datuk Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.

–Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment