Home » Anugerah MANIS memartabat pendidikan daerah Papar
Berita Tempatan Politik

Anugerah MANIS memartabat pendidikan daerah Papar

Ghulam menyampaikan anugerah kepada seorang penerima sempena majlis itu

KOTA KINABALU: Seiring usaha memartabat agenda pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah Papar mengadakan Majlis Anugerah Inspirasi Akademik (Manis) Sektor Pembelajaran 2023 di sini kelmarin.

Majlis bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pengetua, guru besar dan kepimpinan sekolah, dalam meningkatan pencapaian akademik .

Anugerah diperkenal bagi memotivasi dan menginspirasikan pentadbir dan guru-guru mendidik murid serta pelajar di pelbagai peringkat.

Ghulam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Akademik (MANIS) Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Papar, di sini kelmarin.

Bertemakan `Guru berkualiti pemacu kemenjadian murid’, kira-kira 200 anugerah dan penghargaan disampaikan kepada penerima.

Anugerah Manis kali kedua itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam ucapannya, Ghulam yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah memuji inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah Papar memperkenalkan anugerah Manis itu.

Beliau berkata sememangnya wajar jasa dan pengorbanan warga pendidik dihargai dan diiktiraf.

“Ini suatu langkah yang amat baik dan wajar diteruskan, seiring usaha mengangkat agenda pendidikan negeri, meningkatkan prestasi pendidikan daerah,” katanya.

Beliau berharap penghargaan dan pengiktirafan itu menjadi pencetus semangat kepada semua sekolah di daerah Papar untuk mengembleng tenaga memartabatkan kecemerlangan pendidikan.

Ghulam optimis daerah Papar boleh menjadi hub kecemerlangan pendidikan peringkat rendah hingga menengah dalam masa sedikit masa lagi.

Menurutnya, keputusan SPM dan STPM tahun 2022 bagi daerah Papar sangat memberangsangkan.dan mengatasi banyak daerah di Sabah.

Katanya, kejayaan itu tidak datang secara bergolek atau kebetulan, tetapi dengan kesungguhan, komitmen yang konsisten secara berterusan.

“Ia ditambah pula dengan sokongan dan dokongan Pejabat Pendidikan Daerah Papar dengan program yang berkesan dan strategik,” katanya.

Hamzah Sanudin