Home » Hidup dengan metabolisma unta
Politik Sudut Pandangan

Hidup dengan metabolisma unta

Ramzah berkata demikian mengulas laporan polis yang akan dibuat seorang pegawai Fuziah berhubung satu video yang disiarkan semula memaparkan beliau “membeli barangan keperluan harian”. (Sekadar gambar hiasan)

Buat laporan polis? Siapa yang lakukan jenayah dan kepada siapa? YB ini sakiti hati rakyat. Jadi, rakyat bangkit meluahkan kesakitan mereka. Bukankah ini satu perkara normal dalam negara demokrasi?

Selaku YB bertaraf Timbalan Menteri, beliau patut insaf, polis ada banyak lagi tugasan lain yang lebih penting. Buat apa mau jerumuskan mereka untuk sama-sama terlibat dalam mengurus emosi pemimpin politik yang koyak kerana umpat keji netizen.

Laporan polis itu menyusahkan PDRM, buang masa dan membazir sumber negara. Kenapa? Sebab anggota polis yang patut bertugas menjaga keselamatan negara, sekarang terpaksa buat kerja remeh temeh. Kena buka kertas siasatan untuk menyiasat kesalahan yang tidak wujud.

Sama ada video itu dirakam tiga bulan lepas atau tiga puluh tahun dulu — kelakuan begitu dari seorang pemimpin tetap berciri kurang ajar dan tidak wajar. Itu secara terang-terang, mengejek kesusahan rakyat. Secara logik, apa kau expect bila kau sengaja menjolok sarang tebuan? Kau expect koloni tebuan itu akan merembeskan tetesan madu untuk kau sedut penuh nikmat?

Satu video tular memaparkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berbelanja RM136.30 untuk membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya.

Memang harga barang sentiasa naik. Sebilangan besar rakyat akan terhimpit, dari semasa ke semasa. Ini hakikat. Selaku ahli Dewan Negara, dan ahli eksekutif pembuat dasar (Timbalan Menteri) — fokuslah pada strategi-strategi kawalan harga. Juga pada gerak kerja untuk tingkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Inisiatif-inisiatif begini yang patut dikomunikasikan di media. Yakinkan rakyat bahawa kerajaan serius dengan keluh-kesah akarumbi. Bukan cuba menguburkan sentimen dan naratif rakyat dengan acah-acah turun padang, sibuk mau review harga barang satu troli. Kemudian lampiaskan kata-kata sarkastik. Awak itu timbalan menteri, bukan influencer jadi-jadian.

Harga sebotol minyak masak, dua pek mee kering dan sekampit beras — memanglah tidak sampai ratus-ratus ringgit. Tapi kita bukan lahir dengan fisiologi unta, yang ada dua bonggol belakang untuk menyimpan makanan. Yang cuma perlu meragut rumput dan minum air sekali dalam seminggu, dan bekalan itu boleh tahan berhari-hari.

Mungkin YB sangka, manusia pun memiliki metabolisma unta. Hanya perlu makan tiga pinggan nasi sekali. Nanti karbo itu dikumpul dalam dua cembung pipi, kiri dan kanan. Kemudian, makanan yang tersimpan pada pipi montok itu cukup untuk membekalkan zat, kalori dan tenaga untuk keperluan tubuh sampai seminggu. Begitu?

YB tolonglah jauhi kenyataan-kenyataan simplistik begitu. Keperluan harian manusia lebih kompleks dari sekadar dua pek mee atau sekampit beras. Janganlah cuba meng-unta-kan rakyat Malaysia. Tak baik tau.

Masalah YB troli ini, sama juga dengan kecelaruan YB Menteri Ekonomi. Suka cipta alasan, bukan cari penyelesaian. Ketika rakyat terhimpit dengan isu kenaikan harga barang, YB seorang ini pula gigih mempersoalkan tentang ketagihan makan luar.

Mungkin kenyataan YB ini ada betulnya, mengikut konteks tertentu. Tapi tugas Menteri Ekonomi adalah untuk selesaikan isu ekonomi dengan strategi ekonomi. Bukan berkhutbah tentang amalan dan perangai rakyat. Itu tugas pakar motivasi dan psikologi.

Dulu masa YB jadi kerabangkang, YB kata kerajaan mesti bijak mencipta formula untuk tangani kenaikan harga barang. YB kata, kuncinya terletak pada polisi, intervensi dan kredibiliti kerajaan. Sekarang YB sudah jadi kerajaan (bukan lagi kerabangkang), kenapa tiba-tiba gigih pula mengungkit pasal pilihan gaya hidup rakyat?

Jadilah pemimpin yang bermain dengan penuh “semangat kesukanan” di atas padang politik. Mesti konsisten berpegang pada tiang gol yang sama, walaupun posisi sudah berubah. Kalau tidak reti, baik main guli saja. Boleh jentik sukahati, ke sana sini.

Lagi satu, gaya hidup yang Menteri Ekonomi khutbahkan itu sangat urban-centric. Bukan semua rakyat ada akses kepada gaya hidup begitu.

Lebih 50% penduduk Sabah masih tinggal di luar bandar. Jangan bilang boleh bersenang-senang makan luar. Mau beli barang keperluan harian pun, tidak senang. Ada yang terpaksa menempuh perjalanan berbatu-batu untuk ke pekan paling dekat.

Mereka ini, meski pun tiada kaitan dengan gaya hidup yang YB Menteri canang-canang itu, tetap juga terkesan dengan tekanan kos sara hidup. Malah lebih teruk lagi. Sebab harga barang berganda-ganda melambung tinggi di kawasan pedalaman, akibat cabaran pengangkutan.

Iyalah bah, bajet federal untuk bina infra jalanraya di Sabah yang luasnya lebih separuh tanah semenanjung ini — berapalah sangat, kan.

Mohonlah YB-YB dalam kabinet kerajaan, hati-hati bila berkata-kata. Jangan sampai kerajaan hari-hari melaungkan Madani, tapi rakyat pula hari-hari asyik Marahni.

*Ramzah Dambul seorang ialah ahli akademik yang berasal dari Sabah. Tulisan ini merupakan pandangan beliau dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News.