Home » Pembudayaan STIE dalam kalangan pelajar terus diperkasa
Berita Tempatan Politik

Pembudayaan STIE dalam kalangan pelajar terus diperkasa

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya. Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

KOTA KINABALU: Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan pelajar di Sabah akan terus diperkasakan bagi menarik minat mereka dalam bidang berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun di negara ini. 

“Kerajaan negeri memandang serius senario ini memandangkan kita perlu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri menyasarkan 60:40 iaitu 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera. Ini kerana kadar penglibatan pelajar STEM pada tahun ini hanya mencapai 28 peratus.

“Justeru, pelbagai strategi dilaksanakan bagi memastikan sasaran ini tercapai,” katanya pada Majlis Pelancaran ‘Mobile Exhibition Experiencing Science: Enlightening Innovation Tour in Sabah’ di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya. Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, di peringkat kerajaan negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) menggubal Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE di Sabah. 

Menurutnya, antara program yang dilaksanakan ialah Program STEM Fiesta bersama 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Karnival Sains Sabah, Kembara Sains Borneo dan Majlis Anugerah Sains Sabah.

Setakat ini katanya, kesemua 1296 sekolah mendapat manfaat daripada program-program yang dilaksanakan.

“Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS)dan semua agensi berkaitan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dikenal pasti sebagai salah satu pemangkin penting untuk memacu pembangunan sosioekonomi di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Hajiji berkata, penekanan kepada STI sebagai pemangkin penting pembangunan sosioekonomi yang lebih strategik dan dinamik seiring dengan trend global, akan berupaya meningkatkan pengetahuan, inovasi, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri melalui KSTI sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI termasuk memperkasakannya dari masa ke semasa di Sabah.

Menurutnya, beberapa kolaborasi dimeterai dengan beberapa kementerian di peringkat Persekutuan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Sumber Manusia (KSM) di samping kolaborasi strategik dengan universiti awam seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain swasta.

Menyentuh mengenai program itu, Hajiji berkata, Sabah adalah negeri pertama di Malaysia dan ketiga di Asia yang melaksanakan program kembara pameran sains interaktif seumpama itu.

Katanya, KSTI dengan kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum akan mengadakan siri jelajah pameran interaktif sains bergerak itu di 14 daerah terpilih. Kerjasama ini akan berlangsung selama tiga tahun sehingga 26 September 2026.
 
“Pameran ini amat bermakna kerana Kerajaan Republik Rakyat China melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif baharu dalam bidang STI, dan berada di kedudukan ke-11 dalam Indeks Inovasi Global 2022.

“Keadaan ini meletakkan mereka sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia. Pameran ini juga salah satu inisiatif KSTI memupuk minat pelajar terhadap STEM di negeri ini, selain ia salah satu teras dalam agenda dan Hala Tuju SMJ.

“Saya juga mahu peluang kerjasama dengan China diperluaskan khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain teknologi pada masa hadapan,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin