Home » Usaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan
Berita Tempatan Politik

Usaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan

ALBUM: Ewon (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta dalam majlis itu.

KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata usaha untuk memartabatkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah adalah perjuangan berterusan parti itu agar ia setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

“Di Sabah, kita mempunyai tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan MAN. 

“Perjuangan saya dan UPKO sejak dahulu adalah supaya ketiga-tiga mahkamah ini sama taraf. Sebab itu UPKO akan terus memainkan peranan penting memartabatkan Mahkamah Anak Negeri dan ianya akan menjadi perjuangan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang Adat Negeri anjuran Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (KBwake), di Skyblue Kg.Piasau, di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh UPKO selama ini ialah penubuhan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) di Penampang.

“Saya juga telah mencadangkan supaya bangunan MAN di Kota Belud diwujudkan dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

“Bangunan MAN di Kota Belud perlu dibina supaya tidak perlu lagi menumpang di Pejabat Daerah. Hanya kita perlu mengenalpasti tapak cadangan bangunan itu.

“Dari segi peruntukan, kita boleh memohon daripada kerajaan persekutuan melalui program khas anak negeri Sabah sekiranya tapak sudah dikenal pasti. Saya cadangkan bangunan MAN Kota Belud dibina di kawasan Kadamaian,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut menggalakan masyarakat anak negeri agar menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“MAN ini adalah mahkamah milik kita. Oleh itu saya menggalakkan semua masyarakat anak negeri di Sabah supaya menggunakan mahkamah ini untuk urusan-urusan yang berada di bawah bidang kuasa MAN, misalnya perkahwinan, pertunangan dan isu-isu berkaitan tanah anak negeri. 

“Saya sendiri mendaftarkan perkahwinan saya melalui MAN Kota Belud,” katanya.

Seminar sehari itu dihadiri seramai 80 peserta.

–Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment