Home » GRS lebih ikhlas tadbir negeri, beri fokus ‘Sabah First’
Berita Tempatan Politik

GRS lebih ikhlas tadbir negeri, beri fokus ‘Sabah First’

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut meminta pada ahli Gagasan Rakyat untuk sama-sama memberi rasa tanggungjawan kepada parti bagi berkhidmat dan menyumbang bakti dalam memastikan Sabah berada pada tahap yang lebih baik.

RANAU:Kegagalan cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada awal tahun ini membuktikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih ikhlas selain mampu mentadbir negeri dengan baik.

Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiada siapa menyangka rakan kerjasama GRS pada ketika itu cuba untuk merampas kuasa pentadbiran Kerajaan Sabah.

“Lihat sahaja kepada cubaan rampasan kuasa pada Januari lalu, saya fikir dengan ikhlas saya nyatakan Allah lebih sayang kepada kita, tuhan menyelamatkan kedudukan GRS kerana niat GRS lebih ikhlas, lebih telus daripada parti-parti yang cuba menjatuhkan kita.

“Mana kita sangka, sahabat baik sanggup menjatuhkan kita, mereka ada perancangan, tuhan ada perancangan, perancangan tuhan lebih baik daripada perancangan mereka yang ingin menjatuhkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat dan Perasmian Mesyuarat Bahagian 2023 tiga bahagian di Parlimen Ranau di sini semalam.

Masidi yang juga Setiausaha Agung GRS berkata, penyertaan dalam parti tempatan iaitu Gagasan Rakyat kerana memberi tumpuan dalam menuntut hak-hak Sabah selain memberi pembelaan kepada rakyat negeri ini sendiri.

“Selama ini kita memberi tumpuan kepada politik nasional, barangkali sudah sampai masanya kita bagi rakyat Sabah memberi tumpuan untuk menuntut hak dan pembelaan kepada kita sendiri rakyat Sabah.

“Inilah sebenarnya antara rasional kita berhijrah kepada parti tempatan, kita memikirkan ada tanggungjawab bagi memastikan orang-orang Sabah didahulukan atau ‘Sabah First’,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut meminta pada ahli Gagasan Rakyat untuk sama-sama memberi rasa tanggungjawan kepada parti bagi berkhidmat dan menyumbang bakti dalam memastikan Sabah berada pada tahap yang lebih baik.

–TAMAT