Home » Empat atlet gusti lengan Sabah rangkul gelaran juara dunia
Berita Tempatan Politik

Empat atlet gusti lengan Sabah rangkul gelaran juara dunia

BANGGA: Ellron (empat kiri) dan Fairuz (empat dari kanan) semasa menyambut ketibaan atlet Sabah di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Empat atlet gusti lengan Sabah berjaya mengharumkan nama negara selepas merangkul gelaran juara dunia dalam kejohanan ‘World Armwrestling Championship 2023’ baru-baru ini.

Atlet berkenaan ialah Joffey Jolly (Senior Lelaki Tangan Kanan 70 Kg), Wayner Weew Oliver (bawah 18 tahun tangan kanan 63 Kg), Junior Daniel Marcus (Bbawah 15 tahun tangan kanan 70kg) dan Nathanael Evander Sooyon (bawah 15 tahun tangan kiri 70 Kg).

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, kejayaan atlet gusti lengan ini sangat membanggakan buat seluruh rakyat di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sangat terharu kerana pencapaian anak Sabah dalam kejohanan berprestij di peringkat dunia ini boleh dijadikan motivasi terhadap atlet lain.

“Saya berharap sukan gusti lengan ini dapat diperluaskan dan diberikan sokongan supaya lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia dapat dilahirkan.

“Ia juga boleh diangkat untuk dipertandingkan ke pringkat Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Asia Tenggara (SEA) bagi mempopularkan lagi sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyabut kepulangan atlet berkenaan di Lapangan Terbang Kota Kinalau, di sini semalam.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan, Ahli Persatuan Gusti Lengan Sabah dan peminat tempatan.

Terdahulu, kejohanan itu berlangsung selama tujuh hari bermula 25 September lepas di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sebanyak 31 buah negara dan 500 orang atlet menyertai kejohanan berkenaan dengan seramai 14 atlet dari Sabah berada dalam skuad kebangsaan.

 Kejohanan berkenaan menyaksikan pasukan Malaysia berada pada kedudukan kelima dengan pungutan pingat 10 emas, lapan perak dan 12 gangsa dibelakang Amerika Syarikat, India, Poland dan Sweden.

Daripada 10 emas yang dirangkul oleh pasukan kebangsaan, atlet Sabah membolot empat emas, satu perak dan tiga gangsa.

–Hamzah Sanudin