Home » Kes mahkamah Donald Trump bermula, berpotensi ancam empayar perniagaan
Berita Am Berita Luar Negara

Kes mahkamah Donald Trump bermula, berpotensi ancam empayar perniagaan

Kehadiran Donald Trump (tengah) tidak diperlukan pada hari pertama perbicaraan di New York, namun, beliau memilih untuk hadir dan duduk bersama barisan peguamnya. – Gambar AP


NEW YORK:
Kemarahan Donald Trump tidak lagi mampu disembunyikan apabila beliau meluahkannya kepada hakim dan Peguam Negara pada hari pertama perbicaraan kes sivil di sini pada Isnin yang sekali gus boleh menyebabkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dihalang daripada menjalankan perniagaan di New York.

Trump, 77, yang sedang menghadapi beberapa tindakan undang-undang dalam masa sama mengutuk kes penipuan perniagaan yang didakwa ke atasnya dan menyifatkan pendakwaan itu sebagai “pura-pura” serta bertujuan untuk merosakkan usahanya untuk merebut semula jawatan nombor satu di White House tahun depan.

“(Pendakwaan) ini ada kaitan dengan campur tangan dalam pilihan raya, dengan jelas dan mudah,” kata Trump sebaik tiba pada hari pertama perbicaraan yang dijangka berlangsung selama tiga bulan.

“Tujuan kita berada di sini adalah usaha untuk menggagalkan usaha saya dalam pilihan raya (presiden).”

Hakim New York, Arthur Engoron telah mendapati Trump dan anak-anaknya Eric dan Don Jr bertanggungjawab atas penipuan menyediakan penyata kewangan palsu selama bertahun-tahun.

AWANI