Home » Anwar jamin pelaksanaan MA63 kukuh kerjasama Persekutuan dan Sabah
Berita Tempatan Politik

Anwar jamin pelaksanaan MA63 kukuh kerjasama Persekutuan dan Sabah

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia di SICC, Sabah pada 4 Oktober 2023. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hubungan dan kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus dipertingkatkan dalam usaha melaksanakan perkara yang dimeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, kedua-dua kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya dengan mendengar langkah-langkah sewajarnya dalam memastikan apa yang dijanjikan dapat dilaksanakan.

“Sejak mengambil alih kerajaan, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sedia maklum dan saya mengarahkan sedaya upaya untuk melaksanakan apa yang kita janjikan.

“Bapa-bapa kita dalam MA63 menjanjikan untuk melaksanakan beberapa perkara yang dimeterai hasil dari muafakat di antara pemimpin Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Justeru, menjadi tugas generasi pemimpin hari ini tentulah untuk melaksanakan apa yang sudah dijanjikan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Negeri Sabah 2023 di sini semalam.

Beliau berkata, perkara yang dijanjikan dalam MA63 sudah jelas dan kerajaan mesti  melaksanakannya sedaya upaya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan penghargaan terima kasih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) di Sabah kerana menarik balik saman pemula yang mencabar kerajaan Persekutuan berhubung isu pelaksanaan MA63.

Menurutnya, tindakan yang diambil ADUN PH berkenaan membolehkan kedua-dua kerajaan menjalinkan kerjasama sekali gus meningkatkan usahasama sedia ada.

Dalam pada itu beliau turut menggesa agar semua agensi hal ehwal Islam serta tokoh Islam memberi input dalam dasar negara termasuk untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Anwar berkata, langkah itu bagi menerapkan konsep Malaysia Madani ke dalam belanjawan tahunan untuk pembangunan negara dan rakyat yang lebih mampan.

“Ketika saya mengupas kajian separuh penggal RMK12, draf itu saya kirim kepada Ketua Pengarah JAKIM dan mohon supaya ulas…bukan ulasan tentang program agama, tetapi ulasan tentang RMK12.

“Supaya saya dapat bentang kepada rakyat satu pendekatan yang dapat suntikan daripada pakar-pakar Islam serta para alim agar nilai, prinsip serta semangat Madani dapat diterapkan sepenuhnya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

— Siti Aisyah Narudin