Home » Lebih banyak bilik hotel akan beroperasi: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Lebih banyak bilik hotel akan beroperasi: Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika berada di Majlis Ulang Tahun Shangri-La Tanjung Aru Resort ke-40 di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Sejumlah 2,053 bilik tambahan bakal disediakan dengan tujuh buah hotel baharu akan beroperasi bagi menambah 685 hotel sedia ada yang terdiri daripada lima bintang sehingga pusat penginapan dengan kapasiti 26,822 bilik di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkembangan ini dijangkakan akan memberikan impak positif kepada Sabah memandangkan negeri ini terus menjadi destinasi percutian dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Kedatangan pelancong ke Sabah terus menunjukkan perkembangan pada tahun ini apabila negeri ini berjaya mendaftarkan sejumlah 1.4 juta pelancong antarabangsa dan domestik dalam tempoh Januari sehingga Julai 2023.

“Dengan angka ini, Sabah dijangka akan mencapai sasaran kedatangan pelancong seramai 2.2 juta tahun ini.

“Ini adalah petanda baik, pada ketika ini kerajaan negeri telah menjana resit pelancongan sekurang-kurangnya bernilai RM2.9 bilion, ini peningkatan sebanyak 99.7 peratus,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Shangri-La Tanjung Aru Resort ke-40 di sini, semalam.

Beliau berkata, kadar purata penginapan pelancong di hotel Sabah sepanjang enam bulan lalu adalah pada paras 52 peratus.

“Saya dimaklumkan terdapat pada hari tertentu hotel-hotel di negeri ini telah penuh ditempah, khususnya musim cuti atau ketika mempunyai acara diadakan di sini.

“Kerajaan negeri optimistik untuk maju ke hadapan bagi memastikan semua tindakan diambil bagi membolehkan kita berada dilandasan tepat untuk melaksanakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, selari dengan aspirasi kita untuk memperkukuhkan kesatuan, kemakmuran dan inklusif.

“Untuk itu, saya mahu anda semua bersama-sama dengan saya serta kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga melihat potensi besar dalam Pelancongan Berasaskan Komuniti.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu sektor berkenaan berkembang di seluruh negeri agar lebih ramai komuniti dari kawasan luar bandar dapat manfaat daripada limpahan peluang ekonomi itu.

“Satu inisiatif menjenamakan pelancongan berasaskan komuniti akan diwujudkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah dalam masa terdekat bagi mengangkat sektor ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah memperuntukan RM10 juta untuk membaiki kemudahan asas pelancongan di kawasan luar bandar bagi menggalakkan lagi pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, menjelang 2030 Sabah diharapkan dapat mencapai 80 peratus standard piawaian yang ditetapkan ASEAN dalam sektor berkenaan dalam usaha memperkasakan kehidupan komuniti luar bandar.

Dalam pada itu, beliau memuji Shangri-La Tanjung Aru Resort yang telah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dengan bergerak selari pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Adalah penting Shangri-La untuk terus mengekalkan nilai yang telah membantu dalam kelestarian hotel ini.

“Komitmen anda terhadap kelestarian, dedikasi kepada masyarakat dan mutu perkhidmatan anda adalah luar biasa.

“Hari ini adalah detik kebanggaan anda semua dengan hotel ini sebagai simbol pencapaian cemerlang dalam sektor ini,” katanya.

— Tamat

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment