KOTA KINABALU: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat relevan dalam usaha memajukan sektor ekonomi Sabah bertunjangkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata TVET mampu mempersiapkan graduan dengan tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Seiring dengan kekayaan Sabah yang mempunyai sumber alam semula jadi, minyak dan gas, sektor pertanian serta plancongan, kita mahu memajukan sektor pembuatan atau perkilangan sejajar dengan usaha kerajaan yang menggariskan pelbagai inisiatif dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkat.
“Kerajaan berjaya membawa ramai pelabur asing untuk membuka perniagaan di negeri ini antaranya kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis dan kilang pembuatan kaca solar, Kibing.
“Kerajaan negeri juga menetapkan 80 peratus tenaga kerja bagi kilang ini adalah dalam kalangan penduduk tempatan, bagaimanapun kekosongan yang ditawarkan belum dapat diisi sepenuhnya berikutan tenaga kerja di Sabah masih mengalami kekurangan kemahiran yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sabah TVET Symposium 2023 di The Magellan Sutera Harbour Resort pada Selasa.
Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata dengan penyelarasan program TVET mengikut keperluan industri mampu memastikan graduan Sabah bukan hanya boleh mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan malah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pemupukan budaya inovasi.
Menurutnya ibu bapa di Sabah juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan tidak menganggap pendidikan TVET sebagai pilihan ketiga atau keempat sebaliknya menyedari bahawa TVET adalah sangat penting dalam era Revolusi Industri 4.0.
“Golongan belia perlu merebut peluang untuk menceburi bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan sudah disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa hadapan.
“TVET bukan sekadar melengkapi individu dengan kemahiran tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi selain berkait rapat dalam memupuk inovator, usahawan dan pekerja mahir yang mendorong kemajuan Sabah di abad ke-21,” katanya.
Beliau berkata, dalam era teknologi masa kini, pendigitalan dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) adalah sumber daya baharu yang boleh menggantikan manusia dalam melakukan tugasan.
Katanya, penting untuk mempersiapkan anak-anak muda negeri ini untuk beradaptasi dengan kemajuan teknologi dalam mengharungi cabaran akan datang.
“Sabah TVET Symposium 2023 yang bertemakan ‘Peranan TVET dalam memacu inovasi dan pengasahan bakat di Sabah’ jelas menunjukkan institusi TVET di Sabah adalah barisan hadapan yang akan menyelusuri transformasi ini selain menjadi pusat pembelajaran, pusat inovasi dan pembangunan kemahiran.
“Kejayaan TVET tidak hanya bergantung pada institusi pendidikan, sebaliknya ia usaha kolektif yang memerlukan komitmen kerajaan, industri, dan bidang ekonomi.
“Kita harapkan Persatuan TVET Sabah (PeTS) yang menyatukan hampir seluruh institusi TVET di Sabah, akan menjadi platform untuk berkongsi maklumat berkaitan TVET, selain membincangkan polisi berkaitan TVET yang boleh diketengahkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Sabah (JPK),” katanya.
— TAMAT
Add Comment