Home » Sudah tiba akta baharu berkaitan haiwan ternakan digubal, elak kemalangan maut – Masiung
Berita Tempatan Politik

Sudah tiba akta baharu berkaitan haiwan ternakan digubal, elak kemalangan maut – Masiung

SUMBANGAN: Masiung (tiga kanan) menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada pengerusi Fecal Person PIBG daerah Telupid dan Tongod, turut kelihatan Dunis Kimjin (kiri)

TELUPID: Terdapat kepentingan drastik untuk mengubal akta baharu lebih tegas membabitkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya yang banyak menyumbang kemalangan maut di negeri ini.

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sejak sekian lama ribuan nyawa menjadi korban di atas jalan raya akibat kes melanggar kerbau dan lembu tanpa sebarang tindakan diambil kepada pwmiliknya.

“Sudah sampai masanya kementerian berkaitan mengubal undang-undang lebih tegas kepada pengusaha haiwan ternakan supaya isu itu dapat ditangani.

“Tanpa disedari pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya adalah pembunuh senyap yang terkecuali dari tindakan undang-undang.

“Penguatkuasaan sedia ada ternyata amat lemah kerana lebih menguntungkan pemilik ternakan terbabit berbanding nyawa manusia dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi daerah Telupid dan Tongod di sini.

Menurutnya notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pemilik agar ternakan dijaga dan tidak berkeliaran ternyata tidak dipedulikan. 

“Zaman moden kini sudah tidak relevan lagi bagi pengusaha menternak haiwan di jalan raya atau kawasan awam, sebaliknya mereka perlu lebih efisien menempatkan haiwan ternakan di satu kawasan berkurung,” katanya.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menegaskan sekiranya pengusaha digalakan mengurung dan menjaga haiwan ternakan sudah tentu hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata isu haiwan ternakan tanpa pengawasan bukanlah perkara baharu, malah ia sering dibincangkan dalam pihak berkuasa tempatan.

“Haiwan ternakan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, lebih dari itu ia turut merosakan kebun dan harta awam selain najisnya mengotorkan jalan dan kawasan rekreasi.

“Oleh kerana tiada penguatkuasaan undang-undang pemilik ternakan hanya mahu meraih keuntungan tanpa menghiraukan kemalangan jiwa dan kepentingan awam,” katanya.

Menurut Masiung, sekiranya kementerian berkaitan tidak memperuntukan sebarang akta, Jabatan Veterinar atau Polis perlu memberi kebenaran kepada orang awam menangkap atau merampas ternakan terbabit jika menceroboh kebun, kawasan awam atau berkeliaran di jalan raya.

“Harus diingat nyawa manusia lebih penting berbanding haiwan ternakan yang dibiarkan tanpa semarang kawalan,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus