Home » Kerajaan komited tambah baik Program Jualan Rahmah
Berita Tempatan Politik

Kerajaan komited tambah baik Program Jualan Rahmah

TERBAIK: Armizan (tiga kiri) bersama tetamu kehormat yang lain dan pemenang hadiah utama cabutan bertuah pada program itu merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan komited untuk menambah baik Program Jualan Rahmah agar dapat memastikan manfaatnya akan terus dinikmati masyarakat.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu termasuk merintis Program Pasar Rahmah sebagai antara kaedah memperluas konsep penganjuran Jualan Rahmah selaras, sekali gus mampu mengurangkan kos sara hidup masyarakat.

“Program Jualan Rahmah dimulakan dalam premis (dan) luar premis, kemudian kita rintis secara bergerak, dengan (barang jualan) boleh diperoleh pada kadar diskaun 10 sehingga 30 peratus.

“Tahun depan, kita cuba merintis satu kaedah baharu dinamakan Program Jualan Rahmah di Pasar Rahmah sebagai pendekatan menambah baik dan memastikan kebolehcapaian dan keterlihatan program itu dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah di Dewan Kampung Warisan, Darau, di sini hari ini.

Beliau berharap komitmen menambah baik inisiatif program itu dapat dilakukan menerusi peruntukan tambahan RM150 juta.

Katanya, perkara berkenaan telah diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belajawan 2024 baru-baru ini.

“KPDN telah mendapat peruntukan sejumlah RM150 juta untuk meneruskan Program Jualan Rahmah pada tahun hadapan.

“Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment