Home » Tindakan tegas diambil kepada mereka yang melindungi PTI – Masiung
Berita Tempatan Politik

Tindakan tegas diambil kepada mereka yang melindungi PTI – Masiung

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mahukan setiap pemimpin dan anggota masyarakat tidak bersekongkol dengan agen pekerjaan melibatkan PTI untuk tujuan komersial

TONGOD: Ketua-ketua masyarakat di daerah ini akan berdepan tindakan tegas termasuk dibawa ke mahkamah jika terbukti melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah, memberi amaran bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana Ketua Adat atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) jika tidak melaporkan kewujudan PTI di kampung jagaan mereka.

“Jika ada bukti kukuh mereka bersekongkol dengan mana-mana syarikat atau majikan yang menggaji PTI, pemimpin terbabit akan dipecat serta-merta,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan di sini, hari ini.

Masiung berkata, hukuman berat juga bakal menanti mana-mana individu atau majikan di daerah itu yang mengambil PTI bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu mahukan setiap pemimpin dan anggota masyarakat tidak bersekongkol dengan agen pekerjaan melibatkan PTI untuk tujuan komersial.

Menurutnya, indek jenayah di negeri ini merekodkan pendatang asing merekodkan kes tertinggi.

Masiung mengesa, Ketua-ketua Kampung dan JKKK hendaklah mengawasi pengusaha ladang sawit dan getah di setiap kampung supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati mereka menggaji pekerja dalam kalangan PTI.

Program berkenaan dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada Ketua-ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan pemimpin setempat. Ia merupakan program sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tongod yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Tongod.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Ulok, Ketua Wilayah MKN Kota Kinabalu, Amirsyah Mohd Nor dan Ketua Wilayah (MKN) Sandakan, Monday Fadzli Zainal Abidin.

— Yap Siong Han