Home » Tidak perlu tunggu PRN untuk perkongsian kuasa: Upko Libaran
Berita Tempatan Politik

Tidak perlu tunggu PRN untuk perkongsian kuasa: Upko Libaran

Ketua Upko Bahagian Libaran Dr Peter Jr Naintin menjawab kenyataan setiausaha agung GRS Datuk Masidi Manjun baru-baru ini bahawa “kerajaan baharu di Sabah baru wujud selama sembilan bulan, jadi ia akan mengambil masa untuk membuat pelarasan kepada pembahagian jawatan” dan “mungkin selepas pilihan raya akan datang, ia akan lebih mudah untuk membuat pelarasan.

KOTA KINABALU: Tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya akan datang untuk kerajaan negeri melaksanakan perkongsian kuasa dalam pelantikan pemimpin akar umbi di Sabah, kata Ketua Upko Bahagian Libaran Dr Peter Jr Naintin.

Menurut Peter, Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick, telah melaksanakan ‘formula perkongsian kuasa 60:40’ di kawasan pilihan raya Kadamaian dan tindakannya harus menjadi contoh kepada Adun kawasan lain.“

Bagi membuktikan wujud keikhlasan dan kerjasama politik antara GRS-PH di peringkat akar umbi, adalah amat penting bagi kerajaan negeri melaksanakan formula 60:40, seperti yang telah dilaksanakan oleh Adun Kadamaian di kawasannya.

“Rakyat tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya negeri Sabah 2025. Dasar perkongsian kuasa boleh dilaksanakan untuk perpaduan rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun

Peter menjawab kenyataan setiausaha agung GRS Datuk Masidi Manjun baru-baru ini bahawa “kerajaan baharu di Sabah baru wujud selama sembilan bulan, jadi ia akan mengambil masa untuk membuat pelarasan kepada pembahagian jawatan” dan “mungkin selepas pilihan raya akan datang, ia akan lebih mudah untuk membuat pelarasan.

”Masidi mengulas kenyataan presiden Upko Ewon baru-baru ini di mana beliau mengingatkan GRS bahawa pakatan yang ada dengan Pakatan Harapan mesti diterjemahkan melalui perkongsian kuasa sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurut Peter, Mahkamah Anak Negeri (MAN) telah mengedarkan borang permohonan kerana jawatan seperti “ketua adat” di MAN di seluruh Sabah akan berakhir pada penghujung 2023.

“Ini bermakna pelantikan baharu bagi jawatan di MAN adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun (2024-2025), iaitu sehingga pilihan raya negeri Sabah akan datang,” katanya.

Peter mencadangkan agar calon yang berkebolehan, tanpa mengira ideologi politik, yang memohon atau mencadang jawatan yang ada hendaklah diundi oleh masyarakat setempat.

“Inilah masa yang sesuai untuk rakyat memilih pemimpin mereka yang mempunyai pendidikan, pengalaman dan kebolehan menjalankan tanggungjawab dan tugas di peringkat kampung dan daerah.

“Selain mengundi menggunakan kertas undi, salah satu cara yang boleh kita lakukan ialah dengan kaedah pengundian elektronik (Kod QR) seperti yang pernah dilakukan untuk mengundi pemimpin muda untuk Program Majlis Belia Sabah baru-baru ini,” katanya.

Baru-baru ini, Ewon dilaporkan berkata beberapa ahli Upko tidak berpuas hati dengan pelantikan pemimpin akar umbi yang dikatakan tidak seimbang, terutama di kawasan yang tidak diwakili PH.

Ewon berkata kerjasama antara GRS dan PH Sabah harus diterjemahkan kepada perkongsian kuasa, bermula dengan pelantikan “ketua adat” di setiap daerah.

–Jozie John