Home »  Insentif atau program dalam Belanjawan 2024 perlu dihebahkan bagi memanfaat belia Sabah dan Sarawak – MBS
Berita Tempatan Politik

 Insentif atau program dalam Belanjawan 2024 perlu dihebahkan bagi memanfaat belia Sabah dan Sarawak – MBS

Pengerusi Tetap MBS ,Mazlan berharap kuota khas dapat diberikan kepada belia-belia Sabah dan Sarawak bagi memastikan golongan belia di dua wilayah itu mendapat manfaat daripada insentif-insentif berkenaan

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyarankan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan serta negeri supaya mengambil pendekatan yang proaktif untuk menyebarkan maklumat kepada belia terutama melibatkan insentif-insentif serta program dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan baru-baru ini.

Pengerusi Tetap MBS, Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, ia penting bagi memastikan insentif dan program dalam Belanjawan 2024 dapat memberi manfaat kepada belia di Sabah dan Sarawak khususnya belia-belia luar bandar.


Belanjawan kali ini katanya, banyak insentif yang disediakan kepada para belia namun dikhuatiri tidak dihebahkan secara menyeluruh terutama kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan komunikasi (akses internet) dan masalah infrastruktur lainnya.


“Saya berharap agar semua insentif-insentif atau program-program dalam Belanjawan 2024 diberikan pemasaran (hebahan) yang lebih berkesan kepada belia-belia luar bandar terutamanya daripada Sabah dan Sarawak.


“Masih terdapat banyak kawasan di luar bandar kita ada masalah liputan internet dan infrastruktur, yang menuntut semua agensi daripada Persekutuan atau Negeri supaya turun bantu dari segi penyebaran maklumat termasuk proses permohonan, ” katanya.

Bagi menggalakkan belia melakukan kegiatan kesukarelawan, Kerajaan Madani dalam Belanjawan 2024 akan memberi ganjaran RM500 kepada golongan belia yang telah berjaya melakukan aktiviti sukarela dengan badan yang diiktiraf oleh Kerajaan, merupakan satu inisiatif yang baik.


Selain itu, belia juga diyakini akan mendapat manfaat daripada peruntukan RM20 juta yang disediakan untuk Rakan Muda dalam memperbanyak pengisian program-program belia, yang dilihat berupaya menggalakkan belia untuk terlibat dengan aktiviti berpersatuan.


Tambahan itu, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur yang turut diteruskan dengan peruntukan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal, amatlah baik dari sudut ekonomi.


Mazlan berharap kuota khas dapat diberikan kepada belia-belia Sabah dan Sarawak bagi memastikan golongan belia di dua wilayah itu mendapat manfaat daripada insentif-insentif berkenaan.


Mengenai RM50 juta yang disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif, Mazlan turut berharap belanjawan itu dapat memberi keutamaan kepada kemudahan-kemudahan sukan daif di daerah di Sabah.

 
“Di Sabah banyak belia sukar mendapatkan lesen kerana kos yang mahal. Tindakan kerajaan sangat tepat bagi menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.


“Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman dan ini satu ikhtiar yang sangat tepat untuk membantu pelajar-pelajar daripada Sabah dan Sarawak daripada keluarga kurang mampu.


“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 ini adalah belanjawan yang merakyatkan tetapi pelaksanaan belanjawan perlulah secara holistik tanpa meninggalkan belia di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana Belanjawan 2024 membawa harapan kepada penduduk Sabah dengan pelbagai peningkatan peruntukan pembangunan yang signifikan.


“Saya percaya tindakan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah terus berkembang dalam semua bidang, terutamanya penyelesaian terhadap isu kemudahan asas penduduk, ” katanya.


Tambahan itu Mazlan turut memohon supaya Kerajaan Persekutuan menyokong penubuhan Tabung Amanah Negeri Sabah supaya lebihan peruntukan dapat diurus oleh Sabah tanpa perlu mengembalikan lebih RM1 bilion kepada Persekutuan setiap tahun.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment