Home » ‘Ini peperangan Israel dan Hamas, tiada kaitan dengan rakyat Palestin’ – Duta Israel
Berita Am Berita Luar Negara

‘Ini peperangan Israel dan Hamas, tiada kaitan dengan rakyat Palestin’ – Duta Israel

Gilad Erdan berkata, pejuang Hamas merupakan punca di sebalik konflik peperangan yang berlaku di Gaza. – Foto fail/REUTERS

KUALA LUMPUR : Israel sekali lagi menunjukkan keangkuhannya apabila menafikan serangan yang telah mengorbankan lebih 7,000 rakyat Palestin di Gaza.

Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan sebaliknya berkata, pejuang Hamas merupakan punca di sebalik konflik peperangan yang berlaku di Gaza.

Beliau yang berucap ketika sesi mesyuarat tergempar di New York pada malam Khamis turut menyatakan, ketegangan yang sedang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena antara Israel dan rakyat Palestin.

“Serangan pada 7 Oktober lalu didalangi pejuang Hamas tidak ada kaitan dengan penduduk di Palestin, tiada kaitan dengan konflik Arab dan Israel dan ini bukan peperangan melibatkan rakyat Palestin.

“Israel hanya sedang berperang dengan organisasi pengganas (Pejuang Hamas) dan ini merupakan undang-undang demokrasi yang dipatuhi Israel terhadap pengganas moden dan ini adalah faktanya,” katanya.

Meskipun beliau menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap serangan Hamas sebelum ini namun apa yang berlaku jelas menjadikan rakyat warga Palestin menjadi mangsa yang tidak bersalah dengan bedilan bom hampir setiap jam.

Beliau berucap selepas Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour menyuarakan kemarahan berhubung nasib yang menimpa rakyatnya ketika ini.

Tegas Riyad, korban nyawa yang semakin bertambah di Palestin seolah-olah tidak mendapat perhatian dunia sebaliknya angka yang jauh lebih kecil melibatkan mangsa Israel yang menjadi keutamaan.

Riyad turut menggunakan ruang itu menceritakan keadaan hospital yang beroperasi dalam keadaan daif apabila rawatan terhadap mangsa tanpa bekalan elektrik dan air.

Lebih memilukan ada sesetengah rawatan juga terpaksa dibuat tanpa bius berikutan keadaan hospital yang serba kekurangan.

Ketika ini, ketegangan di Gaza telah berlarutan memasuki hampir tiga minggu dengan situasi di Gaza terus dihujani peluru berpandu pihak rejim yang masih rakus meragut nyawa.

Korban di Gaza juga telah melepasi lebih 7,000 dan sebahagian besarnya merupakan golongan wanita serta kanak-kanak.

Sementara itu, Israel terus menyatakan hasrat untuk melaksanakan serangan selepas ini menerusi laluan darat.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment