Home » Rakyat Sabah sembah tahniah kepada Agong baharu -Hajiji
Berita Tempatan Politik

Rakyat Sabah sembah tahniah kepada Agong baharu -Hajiji

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama kekandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. Foto: Nazirul Roselan & Hazim Mohammad | BERNAMA

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengucapkan tahniah bagi pihak rakyat Sabah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan 2024. 

“Rakyat Sabah sangat mengalu-alukan perkara ini dan mengucapkan tahniah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan penghargaan bagi pihak rakyat Sabah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah kerana telah mengadakan program Jelajah Kembara Borneo di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Kami di Sabah akan sentiasa mengingati lawatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bersama Permaisuri Agong dan keluarga yang sangat prihatin dengan rakyat.

“Kami mengucapkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan keluarga sentiasa sihat dan sejahtera,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment