Home » Kerajaan negeri akan mempercepatkan pelaksanaan JENDELA
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri akan mempercepatkan pelaksanaan JENDELA

BINCANG: Hajiji dan Fahmi ketika mengadakan pertemuan itu.

KOTA  KINABALU: Kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah akan dilaksanakan dengan lancar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, arahannya sangat jelas, semua pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah wajib memudahkan pelaksanaan projek berkenaan secara lancar.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Menara Kinabalu, hari ini.

Antara isu yang dibincangkan adalah mempercepatkan pelaksanaan Program JENDELA bagi mencapai 100 peratus capaian internet yang disasarkan pada penghujung 2025.

Turut dibincangkan adalah cadangan pemasangan semula 300 satelit Terminal Bukaan Amat Kecil (VSAT) di kawasan pedalaman Sabah, sekali gus meningkatkan jumlah Pusat Ekonomi Digital (PEDI) dari 118 kepada 200 serta mempercepatkan pemasangan dan  ‘Point of Presence’ (PoP).

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. 

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment