Home » Annuar yakin projek pembangunan yang dilaksanakan mampu beri manfaat kepada rakyat akar umbi
Berita Tempatan Politik

Annuar yakin projek pembangunan yang dilaksanakan mampu beri manfaat kepada rakyat akar umbi

TURUN TINJAU: Annuar (kiri) bersama Fred (kanan), Adzra (tengah) dan rombongan UPPM Liawan semasa meninjau jalan konkrit Kampung Muhibah yang telah siap.

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bersama rombongan baru-baru ini mengadakan program turun padang untuk meninjau beberapa projek kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah siap sepenuhnya.

Tinjauan itu turut disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan Fred Toyong; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Adzra Addy Jasni; Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan di Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Keningau Erick Takun Lantayan dan petugas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan.


Di Kampung Ulu Senagang, Annuar ditemani rombongan meninjau projek pembinaan bangunan astaka gelanggang bola tampar seterusnya ke lokasi projek pembinaan titian pejalan kaki orang awam dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Senagang Keningau.


Beliau kemudian ke Kg Meninipir untuk meninjau projek naik taraf jalan gravel ke jalan konkrit di kampung itu yang kini sedia memberi manfaat kepada penduduk khususnya para pekebun setempat.

 
Tinjauan seterusnya ialah jalan tanah merah sejauh 100 meter yang dinaik taraf ke jalan konkrit di Kg Muhibah. Baki jalan 250 meter di kampung itu kata Annuar akan diusahakan dalam masa terdekat.

Lawatan itu diakhiri dengan meninjau pelaksanaan projek pembinaan gabion sebagai penghalang kepada limpahan air Sungai Kali di Kampung Kali yang telah siap dilaksanakan.

 
Annuar yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) ketika ditemui menyatakan rasa puas hati dengan projek-projek yang siap dilaksanakan yang beliau sifatkan dapat memberi impak yang positif kepada rakyat dikawasan terlibat.


Beliau turut menyatakan akan terus memberikan komitmen sebaiknya kepada rakyat di akar umbi bagi memastikan sebarang keperluan dan kehendak rakyat dapat dipenuhi kerana beliau yakin ia akan memberi kebaikan sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan penduduk dikawasannya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment