Home » Tambah kerusi ,ringankan beban Ahli Parlimen Malaysia Timur – GRS
Berita Tempatan Politik

Tambah kerusi ,ringankan beban Ahli Parlimen Malaysia Timur – GRS

Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai berkata ada kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak lebih luas berbanding sebuah negeri di Semenanjung.
Pemimpin Sabah dan Sarawak berpendapat pertambahan kerusi Parlimen dapat membantu mengurangkan jurang pembangunan di negeri itu.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Sabah berpendapat faktor kepadatan penduduk bukan pertimbangan utama menentukan kesesuaian pengembalian 35% kerusi Parlimen kepada dua negeri Malaysia Timur, tetapi berdasarkan saiz kawasan.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Joniston Bangkuai berkata penambahan kerusi itu dapat “meringankan beban” wakil rakyat terlibat supaya mereka boleh lebih fokus dalam usaha membangunkan kawasan apabila saiz kawasan Parlimen yang dijaga menjadi kecil.

“Misalnya Kinabatangan lebih besar Pahang tetapi negeri itu ada berapa ramai Ahli Parlimen. Cuba bayangkan seorang Ahli Parlimen mengurus kawasan pilihan raya yang saiznya lebih besar daripada Pahang.

“Sudah tiba masanya lebih banyak kerusi (Parlimen) diperuntuk kepada Sabah dan Sarawak.

“Apabila kita mempunyai lebih banyak kerusi, kawasan seperti Tuaran dapat terbahagi kepada dua maka Ahli Parlimennya mendapat peruntukan tahunan bagi pembangunan kawasan,” kata Adun Kiulu itu kepada wakil media.

Ketua Penerangan GRS dan ADUN kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Menurutnya, keputusan “tambahan kerusi Parlimen” itu bukan perkara baharu dan pemerintah Sabah serta Sarawak telah lama membuat tuntutan.

“Sebelum itu apa yang kita diberi gambaran ialah Sabah, Sarawak dan Singapura seharusnya mempunyai bilangan kerusi (Parlimen) yang di Semenanjung tidak mempunyai 2/3. Tetapi apabila Singapura keluar dari Malaysia, yang ditambah itu Semenanjung.

“Ia tidak pernah kembali kepada hak utama Sabah dan Sarawak. Bilangan kerusi ditambah Semenanjung tidak patut ada 2/3, itulah asasnya,” katanya.

Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian.

Sementara itu, Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian pula berkata hak Sabah dan Sarawak harus dihormati sebagai rakan kongsi yang perlu dizahirkan dengan menambah kerusi Parlimen.

Menurutnya, pengembalian 35% kerusi Parlimen itu juga dapat memberi ruang kepada lebih ramai wakil rakyat berkhidmat serta merapatkan jurang pembangunan di kedua-dua blok Borneo itu seperti dijelaskan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

“Tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mestilah dilaksanakan dan bukan di tahap rundingan lagi,” katanya.

Minggu lalu, bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berpendapat pelaksanaan 35% daripada kerusi Parlimen diperuntuk kepada Sabah dan Sarawak belum sesuai ketika ini, mengambil kira kepadatan penduduk yang rendah di sesetengah kawasan.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Serian Richard Riot supaya dua negeri di Malaysia Timur diperuntukkan 35% daripada keseluruhan kerusi Parlimen, menjelang PRU16.

Chia Wan Rou

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment