Home » PGRS lebarkan sayap ke Labuan
Berita Tempatan Politik

PGRS lebarkan sayap ke Labuan

Mohd Ariffin optimis PGRS mempunyai kekuatan akar umbi dan percaya parti itu mampu memenangi hati rakyat di Labuan

LABUAN: Parti politik berpangkalan di Sabah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) atau Gagasan Rakyat melebarkan sayapnya ke Labuan dengan 21 cawangan dan lebih 2,000 anggota.

Gagasan Rakyat yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, meletakkan adik kepada bekas Ahli Parlimen Labuan, Mulok Awang Damit iaitu Rosli Awang Damit sebagai Ketua Gagasan Rakyat Labuan.

Naib Presiden I PGRS, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, parti itu perlu bekerjasama erat dengan parti komponennya iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam usaha meraih penerimaan meluas masyarakat pelbagai kaum di pulau ini.

“KAMI MAHU PGRS LABUAN DITERIMA OLEH RAKYAT BERBILANG KAUM DI PULAU INI DENGAN KERJASAMA DARIPADA PBS DI SINI,” KATANYA KEPADA PEMBERITA SELEPAS MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PGRS BAHAGIAN LABUAN PERTAMA DI SEBUAH HOTEL DEKAT SINI PADA ISNIN.

Beliau optimis PGRS mempunyai kekuatan akar umbi dan percaya parti itu mampu memenangi hati rakyat di Labuan.

Mohd Ariffin turut menekankan kepentingan untuk terus mengembangkan keanggotaan parti itu menerusi pelbagai platform.

“Parti ini berhasrat untuk menunjukkan komitmennya kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Labuan.

“Perluasan PGRS ke Labuan merupakan langkah ke hadapan yang signifikan bagi parti dan pemimpinnya optimis dengan prospek di Wilayah Persekutuan ini,” katanya.

— Bernama