Home » Hanya nilai positif mampu sediakan masa depan cerah: LDP
Berita Tempatan Politik

Hanya nilai positif mampu sediakan masa depan cerah: LDP

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Nicholas Ban berkata, lepasan SPM selalunya mempunyai satu tempoh masa untuk menunggu keputusan peperiksaan itu.

KOTA KINABALU: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wajar diperkenalkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar mampu mempelajari nilai-nilai positif sebelum memasuki dunia pekerjaan atau melanjutkan pelajaran masing-masing.

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Nicholas Ban berkata, lepasan SPM selalunya mempunyai satu tempoh masa untuk menunggu keputusan peperiksaan itu.

“Ada dalam kalangan mereka sedang mencari pekerjaan, tetapi tidak dinafikan ramai dalam kalangan mereka masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan masing-masing.

“Saya mencadangkan agar kerajaan terlebih dahulu laksanakan kajian lapangan untuk menentukan impak PLKN kepada golongan belia 20 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ramai kalangan belia berumur 20 tahun ke atas akan terus memasuki pasaran pekerjaan dan ada yang sudah merancang untuk membentuk keluarga masing-masing.

Katanya, objektif PLKN ini mampu memberikan pengalaman bernilai kepada golongan itu untuk berhadapan dengan cabaran hidup tanpa mengira mereka meneruskan pengajian ataupun memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, cadangan untuk mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya bagi menyertai PLKN adalah sesuatu yang baik dan bukannya dari umur 16 sehingga 35 tahun.

Beliau juga tidak bersetuju sekiranya PLKN memerlukan mereka yang berusia 35 tahun untuk menyertai latihan berkenaan kerana golongan berkenaan sudah dewasa dan mencapai tahap pemikiran matang.

“Kerajaan pula perlu memberikan lebih tumpuan bagaimana untuk meningkatkan nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar dan memastikan mereka dapat memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.
 
“Negara ini tidak berada dalam keadaan genting untuk memperkenalkan latihan ketenteraan kepada para lepasan SPM ini, sekiranya 90 peratus modul PLKN menumpukan latihan ketenteraan.

“Adakah ini bermaksud mereka sentiasa dikehendaki bersedia untuk berperang menentang penceroboh?, sekiranya tidak…apakah tujuan sebenar latihan seumpamanya diadakan,” katanya.
 
Katanya, Malaysia memerlukan generasi baharu yang sentiasa berpegang kepada prinsip aman dan damai dalam pembangunan negara.

Menurutnya, jangan sesekali berpegang kepada pemikiran negara barat yang sering mencetuskan perperangan.

“Hanya melalui pemikiran positif dan nilai yang sihat, generasi muda boleh memastikan negara sentiasa berada dalam landasan tepat seterusnya mencapai keharmonian sejangat,” katanya.

–Yap Siong Han