Home » Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan tepat dan wajar: Shahril
Berita Tempatan Politik

Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan tepat dan wajar: Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin

KOTA KINABALU: Pendekatan Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah menerima respon yang positif kerana ia diyakini dapat menangani isu pertindihan perancangan program melibatkan antara kementerian, jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, selain mengelak daripada berlaku pertindihan ia juga berupaya memperkemas segala perancangan program supaya lebih teratur dan sesuai dengan kemahuan usahawan tempatan.


Jelas beliau, dengan adanya jawatankuasa itu ia berupaya menjayakan apa yang dirancang kerajaan Persekutuan dan pada masa sama memenuhi sasaran yang digariskan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Shahril percaya, langkah itu amat tepat dan wajar ditubuhkan Kerajaan Negeri kerana dengan adanya jawatankuasa berkenaan perancangan program-program keusahawanan dapat dilaksanakan dengan lancar selain memudahkan pemberian dana.


“Saya juga menyambut baik pendekatan Kerajaan Negeri kerana mempertimbangkan cadangan dan idea Ahli Dewan Belia Sabah (DBS) untuk memperhalusi Hala Tuju Pembangunan Usahawan Sabah yang diutarakan.

“Sekiranya diperhalusi idea dan cadangan Ahli DBS ia tentunya akan memberi impak yang baik bukan sahaja kepada usahawan itu sendiri malah akan memberi manfaat kepada belia dalam beberapa perkara.


“Ini secara tidak langsung berupaya meningkatkan lagi peluang pekerjaan dan pada masa sama menyokong pembangunan perniagaan dan industri tempatan sekaligus mencipta peluang kerja yang lebih banyak untuk belia Sabah, ” katanya.


Dalam pada itu, Shahril juga berharap Hala Tuju Pembangunan Usahawan Sabah yang akan diperhalusi nanti akan turut memberikan penekanan terhadap aspek pendidikan dan latihan kepada usahawan bagi membantu mereka yang terlibat meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan supaya lebih berjaya dalam perniagaan.


Tambah beliau, dengan sokongan kerajaan terhadap pembangunan usahawan aspek inovasi juga perlu diberi perhatian yang serius kerana ia berupaya merangsang perkembangan inovasi yang diyakini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.


Rabu lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberitahu, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah yang ditubuhkan itu bertujuan membantu menangani isu pertindihan perancangan berkaitan program pembangunan usahawan di Sabah.

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Tambah Hajiji, jawatankuasa itu akan turut dianggotai beberapa kementerian dan agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berperanan menyelaras program-program keusahawanan di Sabah, termasuk pemberian dana.

–Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment