Home » KPDN perkasa pantau harga ayam – Armizan 
Berita Tempatan Politik

KPDN perkasa pantau harga ayam – Armizan 

Sekitar Program Jualan Rahmah Beaufort di sini hari ini.Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Isnin Aliasnih (kiri)

BEAUFORT: Walaupun belum ada aduan mengenai kenaikan harga ayam secara keterlaluan dan tidak munasabah, namun  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mengambil beberapa pendekatan agar asek penguatkuasaan dapat diperkasakan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dipergiatkan  susulan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa sejak 1 November lepas.

Katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan, KPDN mengambil langkah memperkasakan tindakan pemantauan secara menyeluruh.

Menurutnya, KPDN turut melaksanakan mitigasi secara bersasar mengikut lokaliti selain menjalankan intervensi apabila berlaku sesuatu isu.

“Setakat ini tiada tindakan dikenakan dan kita melihat peningkatan harga pada kadar munasabah, ada turun dan ada naik. Contohnya di Labuan, bila pegawai kita pergi pantau hari ini dan tanya kenapa, selepas semak invois daripada pengeluar penternak, esoknya mereka turunkan kembali harga.


“Selepas lima hari dilaksanakan kita akan terus perkasakan pemantauan di seluruh peringkat khususnya mengikut arahan Perdana Menteri dan permintaan Ketua Menteri berikutan harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan dari dulu lebih tinggi dan kita beri perhatian sewajarnya,” katanya kepada media sempena Program Jualan Rahmah Beaufort di sini hari ini.

Selain itu jelasnya, penamatan subsidi dan kawalan harga ayam sejak 1 November lepas juga bukan menjadi punca kepada harga ayam yang sememangnya lebih tinggi di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding Semenanjung.

Dalam pada beliau berkata, KPDN juga akan menambah jumlah pelaksanaan PJR di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi bulan November dan Disember ini.

Pihaknya akan memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga jualan rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.

“Pendekatan ini diambil sebagai salah satu strategi intervensi untuk 
membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan. 

“Langkah ini akan ditumpukan di kawasan-kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat.

“Ini sejajar dengan usaha untuk menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam. Langkah penetapan harga kawalan sementara berkenaan dilaksanakan bermula Februari 2022 disebabkan harga yang terlalu tinggi pada masa itu yang melibatkan pemberian subsidi kepada penternak,” jelasnya.

Armizan berkata, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 November 2023 bagi Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12.00 sekilogram bagi kawasan Pantai Barat dan RM12.30 sekilogram bagi Pantai Timur manakala harga kawalan ayam super bagi Labuan adalah RM12.30 sekilogram.

Katanya, hasil pemantauan di Sabah mendapati harga ayam super di pasaran adalah di antara RM11.49 hingga RM13.90 sekilogram dan di pasaran Labuan adalah di antara RM9 hingga RM13.90 sekilogram.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Isnin Aliasnih.

— Siti Aisyah Narudin