Home » 1MDB: Tiga pertuduhan terhadap Najib dipinda
Berita Dalam Negara

1MDB: Tiga pertuduhan terhadap Najib dipinda

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi hari ini. – Gambar/ Bernama


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pindaan membabitkan dua kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian semasa prosiding kes rasuah dan AMLA berjumlah dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Sequerah berkata, mahkamah mendapati hanya angka dan amaun yang hendak dipinda oleh pendakwaan, sementara naratif pendakwaan membabitkan tuduhan dalam kes itu tidak berubah.

Menurutnya, pendakwaan menghujahkan, tiada niat jahat dalam permohonan itu namun dibantah oleh pihak bekas Ahli Parlimen Pekan ini.

Susulan itu, mahkamah mengarahkan ketiga-tiga tuduhan yang dipinda dibacakan semula kepada Najib.

Pada 24 Oktober lalu, pendakwaan memohon pindaan bagi tuduhan keempat berhubung kes salah guna kedudukan dan tuduhan ke-10 serta ke-21 bagi kesalahan AMLA.

Bagi tuduhan keempat, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dituduh menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44.9 juta dan pendakwaan mahu meminda jumlah berkenaan kepada RM44.6 juta.

Bagi pindaan tuduhan ke-10 serta ke-21 kes AMLA pula, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM652.6 juta kepada RM515.7 juta serta RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Mengikut pertuduhan asal, Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – Sinar Harian

BERITA LANJUT MENYUSUL

AWANI