Home » Huawei bantu kerajaan negeri percepat inisiatif pendigitalan
Berita Tempatan Politik

Huawei bantu kerajaan negeri percepat inisiatif pendigitalan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis MoU berkenaan di Ibu Pejabat Huawei di sini, hari ini.

SHENZHEN: Kerajaan negeri dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempercepatkan inisiatif tranformasi digital di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis MoU berkenaan di Ibu Pejabat Huawei di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, kerjasama pintar itu adalah satu langkah besar ke arah masa depan digital untuk Sabah.

“Kerjasama dengan Huawei Technologies akan memperkasakan negeri dan rakyat Sabah dengan menerima manfaat daripada teknologi inovasi, mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dan menaik taraf perkhidmatan awam.

“Saya gembira apabila mengetahui dalam MoU ini, Huawei Technologies akan menyediakan perkhidmatan nasihat dan rundingan dalam bidang pertanian, sektor pembuatan pintar dibawah Industri 4.0, pelancongan, rancangan bandar pintar, kemudahan infrastruktur termasuk rangkaian dan digital kerajaan.

“Usaha ini sudah pasti akan membantu kita mencapai aspirasi untuk mendigitalkan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata, dalam usaha Sabah mencapai visinya untuk cemerlang dalam ekonomi digital, Huawei bersedia menyokong dari segi membangunkan inovasi digital pintar dan negeri yang mampan.

Katanya, menerusi MoU itu, Huawei Technologies juga akan meneroka usaha kerjasama pelaksanaan perkhidmatan digital yang sudah disediakan Kecerdasan buatan (AI) dan pangkalan data untuk kerajaan, perniagaan dan komuniti.

Mewakili kerajaan negeri menandatangani MoU berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Zainuddin Aman, sementara Simon mewakili Huawei.

Sebelum majlis MoU berkenaan, Hajiji turut dibawa melawat pameran operasi bandar pintar yang dikendalikan Huawei Technologies.

— TAMAT