Home » 77 sekolah, badan keagamaan bukan Islam terima bantuan kewangan RM7.81 juta
Berita Tempatan Politik

77 sekolah, badan keagamaan bukan Islam terima bantuan kewangan RM7.81 juta

BANTUAN: Julita (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima.

KUDAT: Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan sebanyak RM54.05 juta dalam belanjawan tahun ini sebagai bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.  

RM23 juta daripada jumlah terbabit diperuntukkan kepada sekolah manakala RM31.05 juta untuk badan keagamaan bukan islam.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, sebanyak 1,810 kelulusan bantuan kewangan sudah diberikan membabitkan 346 bantuan untuk sekolah dan selebihnya 1,464 untuk badan keagamaan. 

“Jika dibandingkan dengan kelulusan sebanyak 1,516 pada tahun lepas, terdapat penambahan sebanyak 294 kelulusan tahun ini.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan terhadap komitmen tinggi ahli jawatankuasa yang terlibat khususnya dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan bantuan kewangan,” katanya pada majlis penyerahan surat kelulusan bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan islam tahun 2023 bagi Zon Pantai Barat Utara membabitkan Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas di sini.

Beliau turut menyampaikan surat kelulusan bantuan kepada 77 penerima melibatkan 450 kelulusan dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM7,81 juta.

Katanya RM2.52 juta daripada bantuan itu diberikan kepada 46 buah sekolah, manakala RM4.88 juta kepada 394 buah gereja dan RM408,000 kepada 10 buah tokong.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin serta menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.

“Majlis ini begitu bermakna dan amat relevan, memandangkan institusi pendidikan seperti sekolah amat penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan seterusnya memacu pembangunan serta kemajuan negeri sebagaimana yang ditekankan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.  

“Pada masa yang sama, badan keagamaan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi dalam kalangan masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama.

“Semoga dengan sumbangan dan bantuan kewangan ini akan memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan bantuan kewangan ini antara usaha kerajaan negeri sebagai pelengkap untuk meringankan beban dalam memperbaiki dan membangun sekolah serta rumah ibadat agar kekal dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan.

Julita turut memaklumkan bahawa permohonan bantuan kewangan tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac tahun hadapan.

Katanya, sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, jumlah bantuan ini akan ditingkatkan dan sektor swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan diseru untuk turut serta menyahut seruan kerajaan negeri bersama-sama mendukung institusi sekolah dan badan keagamaan di negeri ini. 

— Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment