Home » 70 peserta wanita sertai Kursus Pengucapan Awam anjuran AWS
Berita Tempatan Politik

70 peserta wanita sertai Kursus Pengucapan Awam anjuran AWS

HARGAI: Marlina (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ahmad Sah (tengah) sambil disaksikan Hadi (kanan).

KOTA KINABALU: Seramai 70 peserta menyertai Kursus Pengucapan Awam yang dianjurkan Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) dengan kerjasama Akademi Pidato Profesional yang diadakan di salah sebuah hotel di ibu negeri, baru-baru ini.

Kursus yang julung kalinya diadakan AWS sejak ditubuhkan Julai tahun ini telah dirasmikan penutupannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.


Ahmad Sah dalam ucapan menyambut baik usaha AWS kerana telah menganjurkan kursus itu dengan jayanya dan yakin ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi keyakinan diri peserta khususnya golongan wanita yang menyertai program itu.

Beliau percaya, pelaksanaan kursus itu akan memberi nilai tambah kepada wanita yang berkerjaya termasuk yang akan memulakan kerjaya dalam apa jua bidang kerana ia tentunya dapat menyuntik semangat mereka dalam melaksanakan tugasan.

Ahmad Sah berharap AWS dapat melaksanakan program atau kursus-kursus yang bermanfaat untuk golongan wanita di masa akan datang bagi memastikan golongan itu dapat menyumbang khidmat kepada Sabah dalam pelbagai aspek pembangunan bagi memajukan negeri secara menyeluruh.

Presiden AWS, Marlina Madjid dalam ucapan berkata, objektif penubuhan AWS adalah bagi menanamkan semangat dan percaya diri dalam kalangan wanita di Sabah agar kaum itu dapat mengecapi kejayaan yang lebih membanggakan dalam kehidupan.


Selain itu, pertubuhan itu juga menyasarkan untuk memperkasa ekonomi wanita bagi membantu golongan itu menjana pendapatan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui program kemahiran daripada jabatan dan agensi kerajaan yang ada.

Disamping ekonomi, AWS akan turut memberi penekanan terhadap aspek pendidikan bagi memastikan kaum itu dapat menyumbang dalam pembangunan negeri terutama sektor industri yang semakin membangun di Sabah.


Kursus yang diadakan pertama kali itu juga disasarkan untuk kaum itu bagi memperkasa hak wanita terutama kedudukan golongan itu tidak kira sama ada dalam kerajaan atau syarikat swasta agar mereka lebih berkeyakinan dalam memberi pandangan dan idea.


“AWS mahu melihat wanita sebagai pembuat dasar terutama mereka yang mempunyai pendidikan tinggi dengan diberikan peranan kepada jawatan-jawatan penting dalam kerajaan mahupun GLC serta swasta sekaligus mencapai 45 peratus sasaran, ” katanya.

Mengenai Kursus Pengucapan Awam yang dianjurkan AWS, pertubuhan itu juga merancang untuk menganjurkan kursus-kursus lain di masa akan datang seperti kursus motivasi, komunikasi perniagaan, pengurusan acara dan pengacaraan majlis, seni kepimpinan profesional dan lain-lain berkaitan bagi mengangkat martabat wanita.

Kursus Pengucapan Awam yang diadakan di salah sebuah hotel di ibu negeri pada Isnin telah dikendali sepenuhnya oleh Pengurus Akademi Pidato Profesional, Hadi Hidayah menerusi tiga slot yang diadakan sepanjang hari itu, dengan perasmian penutupan pada lewat petang.

— Kenneddy Corlleus