Home » Sabah-Hong Kong buka perdagangan dua hala
Berita Tempatan Politik

Sabah-Hong Kong buka perdagangan dua hala

PERTEMUAN: Hajiji merakam kenangan bersama John (tiga kanan) sempena dengan pertemuan itu. Turut kelihatan Phoong (empat kiri), Safar (tiga kiri), David (dua kiri), Andrew (kiri), dan Bernard (dua kanan).

HONG KONG: Misi perdagangan sulung Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ke luar negara yang berakhir di Hong Kong  membuka laluan untuk hubungan perdagangan dua hala bagi kedua-dua pihak.

Pertemuan Hajiji dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee Ka-Chiu di pejabatnya di sini hari ini turut memaklumkan mengenai lawatan kerjanya sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global (GCET) pada Isnin lepas.

Pada sidang kemuncak di Shenzhen itu, Hajiji turut menyampaikan ucaptama.

Katanya, kerajaan negeri dan Huawei Technologies turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat Huawei di Shenzhen.

Menurutnya,  bagi meningkatkan hubungan dua hala, kerajaan negeri ingin menjalin hubungan dengan setiausaha jabatan yang berkaitan di Hong Kong.

“Saya mahu melihat Sabah menjadi pintu masuk kepada Asia Tenggara khususnya BIMP-EAGA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, beliau turut memberi taklimat mengenai bidang pelaburan utama Sabah iaitu Sektor Tenaga; Industri Intensiti Tenaga Rendah; Produk Berasaskan Teknologi Hijau; Produk Hilir Biojisim; Pemprosesan makanan; Peralatan perubatan; Minyak dan gas; Pelancongan dan industri Baharu.

Sebagai maklum balas, John bersedia kepada hubungan komunikasi secara langsung antara Hong Kong dan Sabah bagi membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama perdagangan dan bidang berkaitan.

“Kami menantikan pertukaran antara kerajaan untuk mengukuhkan hubungan.

“Bidang lain yang boleh dipertimbangkan kepada Sabah ialah hubungan kerjasama berkonsepkan ‘Blue and Green’ memandangkan Hong Kong berada di kedudukan teratas menerusi Hong Kong Investment Corporation Limited untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

Pada masa sama, John mengalu-alukan Sabah untuk mengadakan pameran perdagangan di Hong Kong untuk mempromosikan produk dan kepentingan perniagaan Sabah.

Beliau berkata, Sabah adalah destinasi pelancongan popular untuk rakyat Hong Kong dan kerajaannya mahu mewujudkan lebih banyak laluan pelancongan yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

Pihaknya mengakui Sabah sebagai pengeksport penting sumber makanan laut ke Hong Kong dan memiliki potensi untuk produk makanan lain.

Mengiringi Hajiji sempena pertemuan itu termasuk Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah Tan Sri David Chu.

Turut hadir, Ahli Majlis Penasihat kepada Ketua Eksekutif Kerajaan Hong Kong yang juga anak kelahiran Sabah Tan Sri Andrew Sheng  dan Setiausaha Bawahan Pembangunan Perdagangan dan Ekonomi Hong Kong Bernard Chan.

— TAMAT