Home » Bangkit bela nasib rakyat, hak Sabah: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Bangkit bela nasib rakyat, hak Sabah: Hajiji

DISAMBUT: Hajiji disambut oleh para pemimpin dan ahli parti setibanya di Persidangan Agung Tahunan 2023 Gagasan Rakyat.
KOTA KINABALU: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu terus bangkit dalam perjuangan membela nasib rakyat negeri ini. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengulangi komitmen untuk terus bangkit dalam perjuangan mendapatkan hak-hak Sabah seperti tertulis dalam Perlembagaan Malaysia. Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, pada masa sama, ahli parti diminta […]

KOTA KINABALU: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu terus bangkit dalam perjuangan membela nasib rakyat negeri ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengulangi komitmen untuk terus bangkit dalam perjuangan mendapatkan hak-hak Sabah seperti tertulis dalam Perlembagaan Malaysia.


Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, pada masa sama, ahli parti diminta bangkit untuk memperkukuhkan jentera dan mantapkan perpaduan, demi memastikan Gagasan Rakyat terus padu dan jitu.


“Bangkit menentang segala tohmahan, hasutan, fitnah, bangkit menegakkan kebenaran dan keadilan, bangkit bagi memperjuangkan hak-hak kita serta bangkit bagi membela agama, tanah tumpah darah dan bangsa tercinta,” katanya dalam Ucapan Dasar pada Persidangan Agung Tahunan pertama Gagasan Rakyat di sini, hari ini.


Hajiji berkata, Gagasan Rakyat sebagai parti tempatan menjunjung semangat Persekutuan Malaysia berteraskan citra kebangsaan.


“Kita akan memainkan peranan yang signifikan dalam politik kebangsaan bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.


“Kita mengangkat perjuangan negeri sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan mana-mana hak Sabah yang berkaitan,” katanya.


Sehubungan itu katanya, Gagasan Rakyat meletakkan tiga teras perjuangan iaitu Stabil Politik, Makmur Negeri dan Jaminan Kesejahteraan, yang akronimnya juga SMJ (Sabah Maju Jaya).


Menurutnya, kehadiran Gagasan Rakyat dalam arena politik amat signifikan kerana dapat memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama parti komponen lain.


Katanya, kestabilan politik di Sabah amat penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam usaha membangunkan negeri.


“Perubahan kerajaan termasuk pertukaran Ketua Menteri yang kerap telah memungkinkan dasar dan polisi kerajaan sebelumnya tidak dapat diteruskan, atau setidak-tidaknya berubah.


“Proses membangunkan sesebuah negeri memerlukan suatu jangka masa yang munasabah selain komitmen serta iltizam bersungguh-sungguh kerajaan untuk merealisasikan matlamat menjadikan negeri lebih maju.


“Sabah memerlukan iltizam politik untuk membangun dengan kadar yang segera. Kuncinya ialah kestabilan. Saya percaya, hanya dengan kestabilan, barulah Sabah dapat dibangunkan,” katanya.


Hajiji berkata, teras kedua untuk memakmurkan negeri akan berpaksi kepada kerangka pembangunan negeri yang disediakan melalui Hala Tuju SMJ, yang dilancarkan pada 29 Mac 2021 itu telah dapat membawa Sabah ke landasan tepat untuk membangun. 


Beliau menjelaskan beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan kewibawaan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Gagasan Rakyat, GRS dan rakan parti komponen PH Plus. ni sekali gus menunjukkan momentum yang amat positif terhadap pelaksanaan Hala Tuju SMJ.


Menurutnya, peningkatan hasil kerajaan negeri dua tahun berturut-turut iaitu RM5.449 bilion pada 2021 dan RM6.96 bilion pada tahun 2022 telah mencatat sejarah sebagai kutipan hasil tertinggi sejak merdeka. 


Selain itu, Sabah berjaya mencatat rekod perdagangan tertinggi pada kadar RM118.1 bilion pada tahun lepas, peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion dan pertumbuhan ekonomi positi membuktikan kerajaan pimpinan Gagasan Rakyat/GRS merupakan sebuah kerajaan yang berfungsi dan berkesan.


Hajiji berkata, jaminan kesejahteraan terus menjadi fokus dalam usaha memenuhi aspirasi dan mandat rakyat.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment