Home » Mahkamah tolak permohonan Bersatu terhadap speaker Dewan, 4 Ahli Parlimen
Berita Tempatan Politik

Mahkamah tolak permohonan Bersatu terhadap speaker Dewan, 4 Ahli Parlimen

Empat Ahli Parlimen itu (dari kiri) Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang),kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang pada PRU15 atas tiket GRS.
Hakim Amarjeet Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan melarang mahkamah meneliti perkara berbangkit dalam Parlimen, termasuk keputusan speaker Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Bersatu memulakan tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen di Sabah dalam usaha mengosongkan kerusi mereka.

Hakim Amarjeet Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan melarang mahkamah meneliti perkara berbangkit dalam Parlimen, termasuk keputusan speaker Dewan Rakyat.

Januari lalu, Johari dilaporkan berkata, tiada keperluan mengosongkan kerusi Parlimen Papar yang disandang Armizan Mohd Ali, Batu Sapi (Khairul Firdaus Akbar Khan), Ranau (Jonathan Yasin) dan Sipitang (Matbali Musah).

Empat Ahli Parlimen itu memenangi kerusi terbabit atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15, ketika Bersatu sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Tetapi selepas PRU15, GRS menggugurkan Bersatu daripada gabungan itu.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee dilaporkan berkata, parti itu mengeluarkan notis pemberhentian kepada empat Ahli Parlimen itu pada 21 Dis 2022.

Ini kerana, katanya, mereka duduk bersama blok kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat 19 Dis tahun lalu.

Disebabkan pemberhentian berlaku selepas PRU15, Kiandee mendakwa berlaku kekosongan berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, iaitu Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika melompat parti, melainkan mereka dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

Justeru, Bersatu memohon mahkamah membatalkan keputusan Johari, yang dimaklumkan kepada parti itu menerusi surat bertarikh 16 Jan lalu, dan memerintahkan speaker mengisytiharkan empat kerusi itu kosong.

Bersatu diwakili peguam Azhar Harun dan Chetan Jetwani, manakala peguam kanan persekutuan Farah Shuhada Ramli mewakili Johari dan Firoz Hussein Jamaluddin mewakili empat Ahli Parlimen terbabit.

Ho Kit Yen

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment