Home » Terus fokus kerja, kata Armizan usai mahkamah tolak permohonan Bersatu
Berita Tempatan Politik

Terus fokus kerja, kata Armizan usai mahkamah tolak permohonan Bersatu

Mengenai tindakan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sebelum ini yang mempengaruhi parti membawa kes ke mahkamah, Armizan Mohd Ali yang ditemui di Par;imen bersama barisan peguamnya berkata ‘tiada yang bersifat peribadi’.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali akan terus fokus sebagai wakil rakyat selepas mahkamah menolak permohonan Bersatu memulakan tindakan undang-undang terhadapnya hari ini.

“Alhamdulillah, saya syukur. Masa untuk teruskan kerja, khususnya kepada masyarakat di kawasan yang saya wakili.

“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas) kepada FMT ketika ditemui di Parlimen.

Armizan enggan mengulas lanjut keputusan itu dan berkata ia sudah dirujuk kepada cabang kehakiman dan hakim memutuskan mahkamah tiada kuasa menyemak keputusan speaker Dewan Rakyat.

Empat Ahli Parlimen itu (dari kiri) Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang),kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang pada PRU15 atas tiket GRS.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Bersatu memulakan tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen Sabah dalam usaha mengosongkan kerusi mereka.

Januari lalu Johari dilaporkan berkata, tiada keperluan mengosongkan kerusi Parlimen Papar disandang Armizan, Batu Sapi (Khairul Firdaus Akbar Khan), Ranau (Jonathan Yasin) dan Sipitang (Matbali Musah).

Empat Ahli Parlimen itu memenangi kerusi terbabit atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15, ketika Bersatu sebahagian gabungan berkenaan.

Tetapi, selepas PRU15 GRS menggugurkan Bersatu daripada gabungan itu.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, dilaporkan berkata parti itu mengeluarkan notis pemberhentian kepada empat Ahli Parlimen terbabit pada 21 Dis 2022.

Mengenai tindakan Kiandee sebelum ini yang mempengaruhi Bersatu membawa kes itu ke mahkamah, Armizan berkata “tiada yang bersifat peribadi”.

“Politik itu politik. Pegangan saya dalam hidup kalau tidak mahu berkawan, jangan bermusuh,” katanya.

Mohamad Fadli