Home » Rakyat diingatkan tidak mudah terpengaruh berita di media sosial
Berita Tempatan Politik

Rakyat diingatkan tidak mudah terpengaruh berita di media sosial

PENGHARGAAN: Masiung (tengah) menerima cendera kenangan daripada Azrul.

TELUPID: Rakyat di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kandungan berita yang tersebar di media sosial khususnya daripada pihak parti pembangkang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, kandungan berita yang dimuat naik itu perlu dipastikan sahih terlebih dahulu sebelum disebarkan.

Katanya, banyak berita-berita yang tersebar di media sosial hanya direka oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah golongan intelek.

“Platform media sosial ketika ini telah disalah guna oleh sesetangah pihak sebagai medium untuk dijadikan senjata halus bagi menyerang pemimpin kerajaan.

“Hal ini kerana, parti pembangkang yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemerintah sentiasa mencari jalan menjatuhkan kerajaan pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, mereka akan gunakan pelbagai cara termasuklah media sosial untuk menyerang kerajaan yang ada pada masa kini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Belia SMJ anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) di sini semalam.

Masiung berkata, fitnah adalah senjata paling tajam digunakan untuk melemahkan sebuah organasasi, lebih-lebih lagi cabaran dunia tanpa sampadan zaman kini hanya berada dihujung jari.

Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mencari kesalahan pemimpin atasan sehingga menyebarkan fitnah.

“Kita menyedari sebagai pemimpin tidak semua orang bawahan yang akan menyenangi kejayaan yang diperolehi,” katanya.

Katanya, pemimpin bukan sahaja sebagai perantara kepada rakyat dan kerajaan, tetapi pengorbanan peribadi juga menjadi penanda aras kepada setiap perjuangan.

“Ramai pemimpin politik gagal meneruskan langkah ke hadapan kerana beberapa kekangan termasuklah masalah kewangan.

“Justeru, hanya pemimpin yang benar-benar cekal sahaja mampu dan bertahan meneruskan kerjaya politik lebih lama,” katanya.

Terdahulu, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim turut hadir menyantuni kira-kira 70 peserta Outreach melibatkan belia-belia daripada kawasan Telupid dan Kuamut.

— Hamzah Sanudin