Home » Sabah berjaya peroleh RM11.9 bilion pelaburan asing
Berita Tempatan

Sabah berjaya peroleh RM11.9 bilion pelaburan asing

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kerajaan negeri komited untuk mencari jalan bagi menambah baik pelaksanaan dasar dan memastikan sistem penyampaian kerajaan diperkasakan. Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya ada Majlis Borneo Architecture Festival 2022, BAF Convention: Borneo Moving Forward di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Sabah berjaya memperolehi sejumlah RM11.9 bilion pelaburan asing dan RM942 juta pelaburan domestik dalam tempoh dua tahun dari September 2020 sehingga September 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kejayaan berkenaan sekali gus berjaya mencipta sejumlah 5,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Katanya, kejayaan itu juga membuktikan bahawa para pelabur yakin dengan Sabah seterusnya menjadikan negeri ini sebagai destinasi terbaik melakukan perniagaan.

“Jangan bimbang, kerajaan negeri komited untuk mencari jalan bagi menambah baik pelaksanaan dasar dan memastikan sistem penyampaian kerajaan diperkasakan,” katanya pada Majlis Borneo Architecture Festival 2022, BAF Convention: Borneo Moving Forward di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji menyeru pemain dalam sektor swasta seperti Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) atau badan berkaitan untuk menjadi rakan kepada kerajaan negeri seterusnya bersama-sama membangunkan Sabah.

Beliau juga berbangga PAM Sabah serta organisasi seumpamanya berjaya memulakan program seperti Borneo Architecture Festival, seterusnya melengkapkan usaha kerajaan dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Kita tidak pernah leka dalam hal pembangunan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Oktober 2020, walaupun dalam tempoh pandemik, kita berjaya melancarkan pelan pembangunan lima tahun iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Pada Mac 2021, kita juga melancarkan pelan hala tuju untuk menggariskan visi, strategi dan keutamaan kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun.

“Pelan utama berkenaan penting kepada pembangunan Sabah untuk bertahun-tahun akan datang.

“Kita berazam untuk mewujudkan persekitaran pembangunan yang kondusif seterusnya mesra perniagaan. Sabah kini juga dalam landasan tepat pembangunan kerana negeri ini berjaya mencapai pendapatan tertinggi tahun lalu iaitu RM5.449 bilion.

“Saya juga yakin dengan perkembangan positif dalam usaha kita untuk bersuara lebih lantang serta penyertaan dalam sektor gas dan minyak di Sabah, kita juga mampu memperolehi pendapatan dari sumber lain.

“Saya yakin pendapatan negeri tahun ini akan melebihi RM6 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan lebih banyak bangunan hijau atau bangunan penggunaan cekap tenaga adalah pendekatan terbaik untuk menjaga serta memulihkan alam sekitar.

“Tema persidangan kali ini bertepatan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang diterima pakai oleh semua ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015.

“Agenda ini menyediakan satu pelan tindakan bersama bagi mencapai kemakmuran sedunia pada ketika ini dan masa depan.

“Kerajaan Malaysia juga sentiasa aktif bagi mencapai matlamat pembangunan mampan dan usaha berkenaan dilakukan melalui pelbagai kementerian, agensi agar dapat disesuaikan dengan perubahan iklim,” katanya.

Katanya, usaha mengurangkan impak perubahan iklim sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda kerajaan negeri.

Menurutnya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim dibawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan negeri juga diwujudkan bagi membincangkan dasar perubahan iklim, tindakan, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memperkasakan teknologi hijau dan pembangunan. 

“Komitmen ini selaras dengan dasar kerajaan negeri terhadap alam sekitar serta aspirasi negara khususnya dalam proses mitigasi dan proses penyesuaian,” katanya.

Yap Siong Han