Home » RUU Anti Lompat Parti di Sabah perlu demi kestabilan politik
Berita Tempatan

RUU Anti Lompat Parti di Sabah perlu demi kestabilan politik

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan di negeri ini supaya rakyat yakin terhadap pemimpin yang mereka pilih.

TAWAU: Rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bakal diusul dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu perkara yang baik demi kestabilan politik negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata RUU ini sudah dibahas dan diluluskan dan dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Katanya, perkara itu perlu dijadikan satu akta dan undang-undang bagi kepentingan dan kestabilan kerajaan yang dibentuk.

“Sebagai ahli DUN juga melihat RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan di negeri ini supaya rakyat yakin terhadap pemimpin yang mereka pilih.

“Kita juga tidak mahu berlakunya perkara-perkara yang boleh mengugat kestabilan politik dan kerajaan yang sedia ada di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah, di sini pada malam rabu.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata RUU Anti Lompat Parti akan diusul ke persidangan DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang supaya RUU itu diluluskan sebab memerlukan dua pertiga untuk meluluskan Perlembagaan ini.

Mengulas mengenai majlis itu, Nizam berkata persidangan tersebut sangat penting bagi merungkai pelbagai isu dalam meningkatkan atau melestarikan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Saya yakin menerusi persidangan ini dapat menyuntik semangat pendidik dan setiap isu boleh dikemukakan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ia sekali gus dapat memastikan kualiti pendidikan semua pelajar yang merupakan pewaris masa hadapan negara ditahap paling baik,” katanya.

Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment