Home » Bantuan sekolah sebanyak RM26.06 juta – Masidi
Berita Tempatan Politik

Bantuan sekolah sebanyak RM26.06 juta – Masidi

Masidi Manjun berkata, Program Bantuan Sosial Sekolah merangkumi pakaian sekolah, kasut, alat tulis dan botol air melibatkan 1,075 sekolah rendah, memberi manfaat kepada seramai 291,414 kanak-kanak Sabah

KOTA KINABALU:BERITA baik buat ibu bapa dan anak bersekolah kerana kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM26.06 juta untuk meneruskan Program Bantuan Sosial Sekolah, yang akan meringankan beban kewangan mereka apabila sesi persekolahan bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Program Bantuan Sosial Sekolah merangkumi pakaian sekolah, kasut, alat tulis dan botol air melibatkan 1,075 sekolah rendah, memberi manfaat kepada seramai 291,414 kanak-kanak Sabah.

Katanya, bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga dan seterusnya menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Selain itu, beliau berkata pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat seperti Program Keluarga, Kepenggunaan dan Kesedaran Penyalahgunaan Dadah khususnya kepada pelajar dan komuniti terdedah akan diteruskan tahun depan.

“Kerajaan Negeri mengiktiraf dan menghargai usaha pertubuhan sukarelawan kebajikan yang memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada golongan tertentu.

“Justeru, geran sebanyak RM3.43 juta diperuntukkan kepada Majlis Khidmat Masyarakat Sabah untuk menyelaras dan mempromosikan aktiviti sukarelawan kebajikan di negeri ini.

“Bantuan ini juga akan diagihkan kepada pertubuhan sukarelawan kebajikan yang menyokong program kebajikan masyarakat,” katanya pada Jumaat.

Dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik yang kerajaan negeri amat prihatin, Masidi berkata sejumlah RM123.55 juta diperuntukkan untuk mengurus dan melaksanakan program kebajikan masyarakat bagi mengurangkan ketidaksamaan sosio-ekonomi dan meringankan beban rakyat.

Daripada jumlah itu, katanya RM76.27 juta diperuntukkan untuk Bantuan Kebajikan Am kepada orang kelainan upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, anak yatim dan ibu tunggal.

Selain itu, beliau berkata Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) di bawah Inisiatif Utama Sabah Maju Jaya (SMJ) akan terus memberi peluang kepada kanak-kanak di luar bandar mendapat pendidikan awal.

“Seramai 835 kanak-kanak telah mendapat manfaat daripada 35 PPKK sejak ia diperkenalkan. Pada masa sama, Program Homeward yang kini telah membantu seramai 970 individu akan terus memberi sokongan kepada pesakit terlantar dan OKU,” katanya. 

— Hayati Dzulkifli

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment