Home » Sabah sasar capai 42 peratus enrolmen pelajar dalam STEM menjelang 2025
Berita Tempatan Politik

Sabah sasar capai 42 peratus enrolmen pelajar dalam STEM menjelang 2025

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan (kiri) mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Majlis Perasmian Pusat Sains Keningau di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau di sini pada Selasa

KENINGAU: Sabah menyasarkan untuk mencapai 42 peratus kadar enrolmen semasa pelajar dalam subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pada masa ini Sabah yang merekodkan enrolmen semasa pelajar STEM sebanyak 28 peratus, berada di tempat kedua terbelakang dalam kedudukan nasional.

Katanya, isu enrolment adalah salah satu isu yang perlu diselesaikan dan dengan momentum program yang berterusan daripada kerajaan serta sokongan masyarakat termasuk ibu bapa, Sabah dijangka akan mencapai sasaran kadar enrolmen sebanyak 42 peratus menjelang 2025.

“Usaha ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat Sabah, khususnya berkaitan STEM dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti”, katanya pada Majlis Perasmian Pusat Sains Keningau di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau di sini pada Selasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pada masa ini Sabah yang merekodkan enrolmen semasa pelajar STEM sebanyak 28 peratus, berada di tempat kedua terbelakang dalam kedudukan nasional.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat tahap kesiapsediaan golongan muda mendepani arus perubahan global yang sukar dijangka, terutama trend pekerjaan masa hadapan.

Katanya, menjelang 2027, 69 juta pekerjaan baharu berkaitan STEM dijangka akan dicipta, manakala 83 juta pekerjaan sedia ada akan dihentikan.

“Pelbagai usaha pembudayaan sains juga sudah dilaksana melibatkan kerjasama rakan strategik daripada negeri dan persekutuan serta agensi dalam dan luar negara dengan objektif untuk memupuk pelajar meminati subjek STEM seterusnya cenderung untuk memilih laluan kerjaya dalam bidang ini.

“Dengan pendidikan terbaik termasuk penguasaan sains, teknologi dan inovasi, kita berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang mampu menyumbang kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya Sabah. 

“Ia juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan”, katanya.

Beliau berkata, penubuhan pusat sains sebagai hab ilmu yang interaktif, inspiratif, dan inklusif bagi membawa pembelajaran sains kepada tahap yang lebih tinggi adalah satu inisiatif progresif kerajaan yang bertujuan melonjakkan arus pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi di negara ini khususnya di Sabah.

“Ini adalah langkah yang dilaksanakan bersama tekad dan visi yang tinggi oleh kerajaan demgan memandang kepada keperluan mendesak untuk memajukan pendidikan sains dan teknologi dalam kalangan rakyat.

“Pusat Sains Keningau yang bernilai RM3.0 juta melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12, bukanlah semata-mata sebuah bangunan.

“Ia adalah simbol kecekalan dan daya kreativiti dalam mengajar sains melalui pendekatan yang tidak konvensional, sebaliknya konsep hands-on, minds-on, hearts-on yang diperkenalkan adalah satu bentuk revolusi dalam pengajaran dan pembelajaran sains,” katanya.

Tambahnya usaha ini bagi mencetuskan minat dalam kalangan pelajar seterusnya membawa mereka ke dalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Katanya, penubuhan pusat sains ini juga adalah usaha kerajaan untuk memberi peluang sama rata kepada pelajar dan masyarakat di kawasan pedalaman atas. 

“Usaha ini juga adalah langkah ke arah menyamakan taraf pengalaman sains dalam kalangan pelajar bagi memastikan tidak ada jurang pengalaman dan keciciran antara pelajar yang tinggal di bandar dan di kawasan pedalaman.

“Ini juga dapat membentuk dan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja terampil dalam bidang STEM tetapi juga mempunyai daya kreativiti dalam mencipta inovasi, semangat kewirausahaan dalam mengkomersialkan hasil karya, seterusnya memberi impak ekonomi yang besar kepada kawasan setempat khususnya Keningau,” katanya.

— TAMAT