Home » WARISAN-UMNO Sabah kerjasama lawan GRS dalam PRN akan datang
Berita Tempatan Politik

WARISAN-UMNO Sabah kerjasama lawan GRS dalam PRN akan datang

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Sabah Kali ke-6 tahun lalu.Shafie (kiri) dan Bung (kanan) adalah dua pemimpin Sabah yang pernah diberitanggungjawab menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah yang seorang diberi peruntukan puluhan bilion ringgit menerusi KKLW yang seorang menteri KKR yang membawahi Jabatan Air Negeri Sabah - Foto WARISAN

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) akan menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dipercayai tahun depan untuk menentang kerajaan negeri yang kini ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu bukan mustahil dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.

“Kita duduk semeja (berbincang) dengan mereka (UMNO Sabah) untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyatnya.

“Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan? Saya nyatakan kepada Bung bahawa kami di sini, kalau perlu kerjasama antara kita (WARISAN dan UMNO Sabah) ialah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan ke-6, hari ini.

Kerjasama itu bakal menyaksikan WARISAN-UMNO akan menentang GRS diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Shafie berkata beliau tiada halangan sekiranya UMNO Sabah mempunyai hasrat yang sama untuk menjalin kerjasama bersama pihaknya.

“Jika itu hasrat mereka, tiada sebab untuk kami katakan tidak kerana kami percaya setiap parti di Sabah, bila tiba masanya akan bekerjasama dengan parti di Kuala Lumpur (Semenanjung Malaysia).

“Ini bukannya tentang WARISAN dan UMNO tetapi adalah untuk kepentingan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui berkata pihaknya juga tiada halangan menjalin kerjasama dengan WARISAN.

Menurutnya, walaupun setakat ini UMNO Sabah belum menjalin kerjasama secara rasmi dengan WARISAN, beliau akui kepentingan kerjasama antara parti politik menghadapi PRN.

“Secara rasmi (kerjasama) belum namun kerjasama ini penting. Dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri pun perlu ada kerjasama. Tidak ada kerjasama, tidak akan jadi (perkara yang ingin dicapai).

“Kerjasama mesti ada tapi bila, tidak tahulah,” katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan ke-6 yang berlangsung selama dua hari, sejak semalam dihadiri 3,000 perwakilan dari seluruh Sabah. Bagaimanapun, kehadiran Bung Moktar bersama rombongan UMNO Sabah ke program terbabit hari ini mencuri tumpuan ramai.

Ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran beliau ke program itu, Bung Moktar menjelaskan pihaknya memenuhi undangan dari Shafie.

“Saya berada di sini kerana diundang oleh presiden sendiri jadi saya rasa tidak ada salahnya. WARISAN juga sebahagian dari komponen kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan jadi sepatutnya tidak ada masalah,” katanya.

Tempoh DUN Sabah akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Hajiji memberi bayangan ia mungkin dipercepatkan.

UMNO dan WARISAN sebelum ini dikatakan bekerjasama dalam Episod ‘Langkah Kinabalu’, awal tahun ini dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji.

Bukan sahaja usaha itu gagal, Bung pula dipecat sebagai timbalan ketua menteri dan menyebabkan UMNO Sabah berpecah apabila ada wakil rakyatnya menyokong Hajiji.

ADUN Tanjung Keramat Shahelmey Yahya dilantik menggantikan Bung. Mac lalu, beliau digantung sebagai ahli UMNO selama enam tahun.

Selain beberapa ADUN UMNO dan semua wakil rakyat GRS, Hajiji turut disokong Pakatan Harapan (PH).

Rafiqah Dahali 

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment