Home » Belum ada keputusan siapa rakan kerjasama UMNO Sabah – Rahman Dahlan
Berita Tempatan Politik

Belum ada keputusan siapa rakan kerjasama UMNO Sabah – Rahman Dahlan

Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah, berkata ketika ini kepemimpinan UMNO negeri masih menjalankan perbincangan awal dengan semua parti.

KOTA KINABALU: Belum ada keputusan dibuat UMNO Sabah mengenai siapa rakan kerjasama parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata apa yang dipersetujui kepemimpinan UMNO Sabah sebelum ini adalah untuk mengadakan perbincangan awal dengan semua parti di negeri ini.

Katanya, keputusan itu dipersetujui pada pemukiman kepemimpinan bahagian UMNO Sabah bersama barisan kepemimpinan tertinggi UMNO Pusat, baru-baru ini.

“Tujuannya untuk melihat, menilai dan menimbang parti mana yang boleh dijadikan rakan kerjasama dalam PRN Sabah yang akan datang.

“Setelah perbincangan awal dengan semua parti selesai dan setelah dipertimbangkan dengan mendalam, barulah satu keputusan rasmi akan dibuat,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pada Mesyuarat Agung Parti Warisan (WARISAN) hari ini, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seolah-olah membayangkan parti pimpinannya sudah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah bagi menghadapi PRN Ke-17.

Mesyuarat turut dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas jemputan WARISAN.

Mohd Shafie dilapor berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah jika ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.

Bung Moktar dalam maklum balasnya ketika diajukan mengenai kerjasama dengan WARISAN pada majlis itu turut menjelaskan belum ada kerjasama secara rasmi dengan parti berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu bagaimanapun mengakui kepentingan kerjasama antara parti politik sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah nanti.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah, berkata ketika ini kepemimpinan UMNO negeri masih menjalankan perbincangan awal dengan semua parti.

“Saya berharap ahli, penyokong dan aktivis UMNO Sabah di akar umbi bertenang sehingga ada satu keputusan rasmi mengenai rakan kerjasama UMNO Sabah dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya.

— TAMAT