Home » Gugur atas sebab kesihatan, kata bekas timbalan menteri
Berita Tempatan Politik

Gugur atas sebab kesihatan, kata bekas timbalan menteri

Bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching (kiri) pada pertemuan dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) di Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan UMNO Sabah
Ahli Parlimen Beaufort Siti Aminah Aching akur dan menerima keputusan Anwar Ibrahim secara terbuka.

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri perladangan dan komoditi, Siti Aminah Aching berkata beliau digugurkan daripada Jemaah Menteri dalam rombakan Selasa lalu atas sebab kesihatan, bukan kerana prestasi.

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata beliau terpaksa mengambil cuti sakit sepanjang tiga bulan lalu selepas pembedahan dua belah lutut yang menyebabkan pergerakan terbatas.

Tetapi katanya, beliau masih boleh menghadiri program kementerian dan mewakili menteri menjawab soalan di Dewan Rakyat.

“Cuma untuk bergerak jauh, apa lagi turun ke kawasan memang sukar,” katanya menurut Harian Metro.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu akur dan menerima keputusan Anwar Ibrahim secara terbuka memandangkan pemilihan menteri serta timbalan menteri atas budi bicara perdana menteri.

Siti Aminah Aching terpaksa mengambil cuti sakit sepanjang tiga bulan lalu selepas menjalani pembedahan dua belah lutut yang menyebabkan pergerakan terbatas. (Gambar Facebook)

“Memang dari awal saya tidak dimaklumkan mengenai pengguguran jawatan sebagai timbalan menteri, namun ia hak perdana menteri yang melantik. Kita perlu profesional dan terbuka menerima keadaan ini.”

Beliau berkata, penggugurannya mungkin juga untuk memberi laluan kepada Noraini Ahmad selaku ketua Wanita Umno yang dilantik timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Jadi, kita perlu akur dan melihat hierarki dalam parti,” katanya sambil menambah beliau kini lebih fokus di kawasan, khasnya Parlimen Beaufort yang diakuinya khidmat agak terhad akibat kekangan tugas di kementerian.

Dalam pada itu, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata pengguguran Aminah sebagai timbalan menteri bukan bermakna Umno Sabah dipinggirkan.

Sebaliknya, beliau mendakwa turut ditawarkan menyertai Jemaah Menteri pimpinan Anwar tetapi menolaknya untuk fokus pada PRN Sabah akan datang.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment