Home » USIA mampu membugar kembali, seiring SMJ – Hajiji
Berita Tempatan Politik

USIA mampu membugar kembali, seiring SMJ – Hajiji

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada majlis makan malam dan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Kali Ke-37 bagi Tahun 2022.

PUTATAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor optimis Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mampu membugar kembali peranan sebagai badan dakwah, seiring konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada kepimpinan Yang Dipertua USIA, Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad, mengemudi pertubuhan itu berdasarkan Pelan Strategik yang digariskan.

“Di bawah pimpinan Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad ini, saya percaya USIA mampu membugar kembali peranan dan fungsi utamanya.

“Ini termasuk mengaktifkan kembali aktiviti menyantuni golongan asnaf dan saudara kita (muallaf) seperti ziarah dan sentuhan kasih serta program berteraskan semangat kekeluargaan.

“Ini selari konsep Sabah Maju Jaya yang saya lancarkan mempunyai tiga teras berdasarkan slogan SMJ, iaitu S – tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, M – modal insan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama, serta J – jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam dan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Kali Ke-37 Tahun 2022, di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, beliau difahamkan ahli USIA juga turut membantu dalam perkembangan rantaian ekonomi negara melalui aktiviti jualan runcit, mewujudkan koperasi serta beberapa cabang keusahawanan lain.

Sehubungan itum, beliau mengajak warga USIA supaya terus membantu Kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ milik ahli dan cawangan.

Sementara itu, Sapawi dalam ucapannya menghuraikan sejarah pertubuhan itu yang ditubuhkan pada 14 Oktober 1969, hasil gabungan tiga persatuan Islam yang besar, iaitu Persatuan Islam Sabah, Persatuan Islam Tawau dan Persatuan Islam Putatan.

Sejak itu, era perjuangan Islam lebih tegas dan meluas di mana USIA terus memainkan peranan amat bermakna dalam gerakan dakwah di Sabah. 

Antara kejayaan besar USIA termasuklah penubuhan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 26 April 1972 dan pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi Negeri Sabah pada 23 September 1973.

“Sebagai pertubuhan Islam terbesar di negeri ini, pengalaman USIA dalam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan demi menegakkan kalimah Allah telah membolehkan pertubuhan ini terus relevan di pentas dakwah tanah air,” katanya.

— TAMAT