Home » Saya sahkan memang ada ketirisan, penyelewengan subsidi kepada rakyat – Armizan
Berita Tempatan Politik

Saya sahkan memang ada ketirisan, penyelewengan subsidi kepada rakyat – Armizan

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengakui wujud ketirisan dan penyelewengan dalam pelaksanaan subsidi yang diberikan kepada rakyat.


Bagaimanapun, beliau belum boleh menyatakan sejauh mana tahap permasalahan terbabit berlaku ketika ini.


“Saya tidak nafikan ketika memangku jawatan (menteri) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini, kita memang mendengar khabar angin berhubung ketirisan dan penyelewengan subsidi.


“Kini saya mengesahkan semua ini memang berlaku, namun kementerian masih melihat perkara itu secara teliti untuk mengetahui tahap permasalahan berkenaan.


“Masalah ini turut membabitkan subsidi minyak masak paket dan pelbagai barangan lain. Ada isu berkaitan sorok barangan, malahan terdapat juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab membotolkan semula minyak masak paket bersubsidi supaya boleh dipasarkan dengan harga lebih mahal,” katanya selepas merasmikan Majlis Muzikal Platinum Grand Reunion Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph 2023, di sini, kelmarin.


Mengulas lanjut, Armizan berkata, kementeriannya juga sedang melaksanakan proses audit di seluruh negara ke atas semua syarikat pembungkusan dan pembekal yang dilantik.


Beliau berkata, audit berkenaan dibuat sejak Oktober lalu dan berlangsung sehingga Mac tahun depan.


“Apabila audit ini selesai, kita akan bentangkan laporan itu kerana saya berpendapat isu ini antara perkara yang tidak boleh dikompromi berikutan ia membabitkan kepentingan rakyat.


“Kita di kementerian memberi amaran kepada semua pihak tidak bertanggungjawab ini hentikan cara berniaga dengan mengambil keuntungan atas subsidi yang sepatutnya dimanfaatkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment