Home » Wanita disaran keluarkan produk sendiri bantu pendapatan keluarga
Berita Tempatan Politik

Wanita disaran keluarkan produk sendiri bantu pendapatan keluarga

Jonathan berkata kursus Y23-SPO40 yang dianjurkan ini adalah projek baharu bagi membantu wanita memperoleh pendapatan.

RANAU: Golongan wanita disaran menjalankan usaha dan mengeluarkan produk sendiri bagi membantu menambah pendapatan keluarga mereka.

Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata, wanita perlu bijak memilih projek atau produk supaya boleh dipasarkan hingga ke luar negeri.

“Sudah tiba masanya wanita menonjolkan diri untuk mengusahakan pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat dan keuntungan yang lebih lumayan.

“Tanaman pokok bunga mawar misalnya boleh dijadikan produk tempatan, selain tanaman biasa di daerah ini seperti sayur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan kursus ‘Y Two Three-SP Zero Four Zero’ (Y23-SPO40), di sini, baru-baru ini.

Katanya, kursus Y23-SPO40 yang dianjurkan ini adalah projek baharu bagi membantu wanita memperoleh pendapatan.

Menurutnya, semua peserta diharap dapat mempraktikkan ilmu pengetahuan yang diperolehi sepanjang mengikuti kursus ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak Dumowongi kerana inisiatifnya menganjurkan kursus ini bagi membantu golongan wanita memajukan diri menerusi bidang Y23-SPO40.  

“Program itu juga akan menambah fasiliti Pusat Latihan Komuniti yang kini menjadi pusat Edu-Agrotourim kepada orang awam tentang herba dan bunga yang boleh dimakan,” katanya.

Terdahulu, seramai 40 wanita menyertai kursus yang diadakan secara berperingkat selama empat bulan bermula Ogos lepas.

Ia adalah anjuran Dumowongi dan pembiayaan daripada All-Party Parlimentary Malaysia Sustainable Development Goals (APPGM-SDG).

Turut hadir, Pengerusi Penganjur, Irene Mositol dan Ketua Rentas Parti Parlimen Malaysia (Ketua Koordinator Wilayah APPGM-SDG), Dr. Jain Yassin.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment